MAT Zaki (dua dari kanan) bersama tertuduh lain yang hadir pada perbicaraan di Mahkamah Tinggi Tawau. FOTO Abdul Rahemang Taiming
MAT Zaki (dua dari kanan) bersama tertuduh lain yang hadir pada perbicaraan di Mahkamah Tinggi Tawau. FOTO Abdul Rahemang Taiming
Abdul Rahemang Taiming


Tawau: Mahkamah Tinggi di sini, diberitahu proses pengecaman mayat pemandu e-hailing, Nurman Bakaratu, 61, yang mati dibunuh berdasarkan ciri istimewa pada tubuh si mati.

Perkara itu dimaklumkan saksi ke-enam, Mohd Norazrie Nurman, 36, yang juga anak kepada mangsa, ketika pemeriksaan utama oleh Timbalan Pendakwa Raya Mohammad Fakhrurrazi Ahmad pada prosiding hari kedua, hari ini.

Menurut Mohd Norazrie, dia diminta hadir ke Jabatan Forensik Hospital Tawau oleh Asisten Superintendan Yusman Syahri Marindah bagi tujuan pengecaman mayat bapanya itu.

"Saya dibawa pakar perubatan ke bilik mayat dan nampak jenazah, namun pada mulanya tidak mengecam kerana mayat dalam keadaan sudah kembung.

"Bagaimanapun, ada ciri istimewa pada tubuh badan bapa, iaitu ibu jari kaki kanan terdapat kerosakan pada hujungnya," katanya.

Norazrie turut memaklumkan kepada mahkamah, bapanya hanya mempunyai satu buah pinggang dan perkara itu disahkan selepas proses bedah siasat selesai dijalankan.

Perbicaraan di hadapan Hakim Datuk Duncan Sikodol bersambung esok.

Pada 7 Julai lalu, Bekas Ketua Perisikan Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCOM), Senior Asisten Komisioner Datuk Mat Zaki Md Zain, 58, berdepan pertuduhan kes bunuh pemandu e-hailing itu.

Mengikut pertuduhan, Mat Zaki dituduh bersubahat dengan John Kennedy Sanggah membunuh Nurman Bakaratu, 61, di sebuah ladang kelapa sawit berdekatan Jalan Anjur Juara, Jalan Apas Batu 5, Tawau antara 7.30 malam hingga 11.30 malam pada 13 Januari lalu.

Pendakwaan dilakukan mengikut Seksyen 109 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Pada 8 Februari sebelum itu, Mat Zaki turut dakwa bersubahat dengan enam tertuduh lain iaitu Rosdi Rastam, 44; Denis Anit, 44; Fabian Rungam, 43; Khairul Azman Bakar, 47; Mohd Azlan Sakaran, 39; dan Vivien Fabian, 34, membunuh Nurman di tempat dan waktu yang sama.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 3 January 2024 @ 3:24 PM