Hafidzul Hilmi Mohd Noor


Kuala Lumpur: Universiti Putra Malaysia (UPM) menjelaskan artikel kajian disenaraikan dalam pangkalan data Excellence In Research For Australia (ERA) disemak oleh pakar dalam bidang.

Artikel kajian 'The Jongs and The Galleys: Traditional Ships of The Past Malay Maritime Civilization' disemak pakar yang tiada kaitan dengan penyelidik bagi mengelakkan konflik kepentingan untuk mengesahkan dapatan kajian.

UPM dalam kenyataan berkata, pihaknya memandang serius dakwaan yang ditujukan kepada universiti itu.

"Oleh kerana penyelidikan ini adalah bersifat akademik, UPM berpandangan adalah wajar isu ini dibincangkan dalam ruang akademik.

"Juga harus dipertimbangkan bahawa bidang sains sosial dan kemanusiaan adalah terbuka kepada interpretasi untuk pelbagai tafsiran yang mana ia adalah amalan baik untuk kajian seperti ini bagi tujuan penambahbaikan," katanya.

Menurut kenyataan itu, UPM komited memelihara martabat pendidikan tinggi serta meneruskan integriti dalam aktiviti penyelidikan ilmiah dan penerbitan akademik.

Semalam, seorang sejarawan Perancis mendakwa dua ahli akademik UPM menampilkan fakta salah berkaitan sejarah pelayaran Melayu dan mempersoalkan kredibiliti jurnal akademik tempat ia diterbitkan.

Dalam satu catatan Facebook, Serge Jardin menamakan Rozita Che Rodi dan Hashim Musa - kedua-duanya ahli akademik dari UPM - sebagai penulis kertas berjudul 'The Jongs and The Galleys: Traditional Ships of The Past Malay Maritime Civilization' yang diterbitkan dalam International Journal of Academic Research in Business and Social Sciences, Jilid 13, Isu 11, 2023.

Jardin mendakwa imej yang digunakan dalam kertas mereka untuk menunjukkan model Jong Melayu (sejenis kapal layar yang berasal dari Jawa, Indonesia yang digunakan secara meluas oleh pelaut Jawa, Sunda, dan kemudian oleh pelaut Pegu dan Melayu) sebenarnya adalah Kapal Kargo Foochow Pole (sejenis kapal kargo) dari China.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 23 January 2024 @ 5:42 PM