JARDIN menyifatkan pembelaan UPM terhadap ahli akademiknya seperti bahan lawak. FOTO Arkib NSTP
JARDIN menyifatkan pembelaan UPM terhadap ahli akademiknya seperti bahan lawak. FOTO Arkib NSTP
Hazween Hassan


Kuala Lumpur: Penjelasan Universiti Putra Malaysia (UPM) mempertahankan ahli akademiknya yang didakwa menampilkan fakta salah mengenai sejarah pelayaran Melayu adalah gagal dan boleh dibuktikan dengan mudah, kata sejarawan Perancis, Serge Jardin.

Jardin sebelum ini mendakwa dua ahli akademik UPM itu menampilkan fakta salah dalam kertas kerja yang diterbitkan dalam jurnal akademik, selain terus mempersoalkan kredibiliti jurnal akademik yang diterbitkan.

Malah beliau menyifatkan pembelaan UPM terhadap ahli akademiknya seperti bahan lawak (joke).

"Jawapan mereka (UPM) seolah satu gurauan. Adakah kita bercakap mengenai peer blind review atau yang boleh dipanggil sebagai pakar buta?

"Bagaimana seorang pakar tidak dapat membezakan antara kapal kargo China dan Jong Melayu. Pernahkah anda melihat bot Melayu dengan sepasang mata pada haluan yang jelas milik budaya China?" katanya kepada New Straits Times, hari ini.

Dalam satu catatan Facebook sebelum ini, Jardin mengatakan Dr Rozita Che Rodi dan Prof Dr Hashim Musa sebagai penulis kertas kerja berjudul The Jongs and The Galleys: Traditional Ships of The Past Malay Maritime Civilization menampilkan fakta salah mengenai sejarah.

Kertas kerja yang diterbitkan dalam International Journal of Academic Research in Business and Social Sciences, Jilid 13, Isu 11, 2023 menggunakan model Jong Melayu (sejenis kapal layar yang berasal dari Jawa, Indonesia yang digunakan secara meluas oleh pelaut Jawa, Sunda dan kemudian oleh pelaut Pegu dan Melayu) yang sebenarnya adalah Kapal Kargo Foochow Pole (sejenis kapal kargo) dari China.

Bagaimanapun UPM menjelaskan artikel kajian dua ahli akademiknya itu mempunyai polisi blind peer review, refereed journal dan jurnal itu sudah disemak oleh pakar dalam bidang yang tiada kaitan dengan penyelidik bagi mengelakkan konflik kepentingan untuk mengesahkan dapatan kajian.

Sehubungan itu, UPM memaklumkan pihaknya memandang serius dakwaan yang ditujukan kepada universitinya dan menegaskan penyelidikan itu bersifat akademik dan ia wajar dibincangkan dalam ruang akademik.

Mengulas mengenai kenyataan UPM itu, Jardin menegaskan, tiada sumber sejarah untuk mengekalkan penegasan itu.

Katanya, beliau bersetuju sejarah adalah mengenai tafsiran masa lampau, tetapi tafsiran itu berdasarkan bukti sejarah.

"Bukti empirikal seperti dua contoh yang mengakui penggunaan kapal ghali dalam armada Kesultanan Melaka sebelum kedatangan Portugis dan Uthmaniyah di Asia Tenggara tidak boleh dirunding," katanya.

Dalam pada itu, sejarawan itu turut membangkitkan perkara lain mengenai kredibiliti jurnal, Jurnal Penyelidikan Akademik Antarabangsa dalam Perniagaan dan Sains Sosial, yang mana kertas itu diterbitkan.

Hujahnya, walaupun UPM meluluskannya sebagai 'semakan pengulas tanpa nama dan bereputasi', semakan di laman web jurnal mendedahkan ia jurnal 'yang dibayar untuk diterbitkan'.

Selain itu, Jardin turut mempersoalkan kredibiliti jurnal, Jurnal Antarabangsa Penyelidikan Akademik dalam Perniagaan dan Sains Sosial yang menyiarkan artikel berkenaan.

Katanya, artikel yang dipertahankan UPM sebagai 'peer review dan mempunyai reputasi' itu diterbitkan oleh Persatuan Penyelidikan Akademik Pengurusan Sumber Manusia (HRMARS).

"Semakan di laman sesawangnya menunjukkan jurnal itu 'dibayar untuk diterbitkan' dengan bayaran tetap dikenakan sebagai 'caj pemprosesan artikel' supaya ia boleh menjadi 'akses terbuka'," katanya.

Seterusnya, beliau menjelaskan penerbit berkenaan, HRMARS disenaraikan sebagai 'penerbit pemangsa' seperti yang terdapat dalam senarai Beall.

Senarai Beall ialah rujukan yang digunakan secara meluas untuk penyelidik dan ahli akademik untuk mengenal pasti penerbit yang mengeksploitasi dan mengesan penipuan oleh penerbit.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 25 January 2024 @ 2:10 PM