GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Leftenan Komander Farizha Ibrahim

Setiap kapal di lautan terdedah kepada risiko kemalangan. Faktor kemalangan dibahagikan kepada dua bahagian iaitu kemalangan berpunca faktor semula jadi atau kemalangan yang berpunca daripada faktor manusia.

Kemalangan maritim disebabkan oleh faktor semula jadi seperti kapal terperangkap dalam ribut, pasang surut, dan angin kencang sama sekali berada di luar kawalan manusia dan ia sebahagian kecil daripada penyebab kemalangan maritim.

Namun, faktor kemalangan utama seperti perlanggaran, kebakaran, letupan, kapal hilang, kemalangan kapal tangki adalah kerana kesilapan manusia.

Menurut laporan dikeluarkan Allianz Global Corporate and Speciality, dianggarkan 75 peratus hingga 96 peratus kemalangan laut mempunyai kemungkinan yang tinggi membabitkan kesilapan manusia. Manakala, kesilapan manusia menjadi faktor utama dalam 75 peratus nilai semua tuntutan yang dianalisis yang setara dengan kerugian lebih daripada 1.6 bilion dolar.

Berdasarkan pemerhatian beberapa kemalangan di laut serta pengalaman penulis sepanjang berkhidmat di kapal Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), beberapa isu dikenal pasti berkait rapat dengan faktor manusia yang berkemungkinan tinggi menjadi punca kemalangan di laut.

Faktor ini berpunca daripada tahap fizikal, mental dan pengetahuan pelaut itu sendiri, pengabaian terhadap prosedur ditetapkan dan sikap sambil lewa terhadap pelaksanaan tugas. Semua faktor itu boleh berhubung kait antara satu sama lain atau bersendirian dalam mencetuskan kemalangan di laut.

Kepenatan pelaut jarang diambil perhatian bagi sesetengah pentadbiran kapal. Mereka berpendapat pelaut adalah profesional dan mampu menguruskan masa mereka dengan cekap. Banyak kes kemalangan berpunca daripada pengabaian prosedur operasi standard (SOP), namun apabila diselidik lebih mendalam mendapati ia berpunca daripada kepenatan pelaut itu sendiri.

Kepenatan mereka menyebabkan mereka hilang fokus dan mengabaikan prosedur supaya mereka dapat rehat semaksimum mungkin semasa bertugas. Kepenatan itu juga akan berangkaian sehingga menimbulkan lebih banyak kesilapan yang mendorong kemalangan kapal di laut.

Hasil kajian yang Vincentius Rumawas pada 2016 menunjukkan rehat sebelum bertugas memainkan peranan penting terhadap prestasi pelaut semasa bertugas. Setiap pelaut perlu menguruskan masa mereka sebelum merapat untuk bertugas supaya ada rehat secukupnya.

Kebanyakan pelaut lebih gemar bersembang, main video dan mendengar lagu daripada berehat sebelum bertugas. Tabiat ini menyebabkan mereka kepenatan dan hilang fokus semasa bertugas seterusnya mendorong kesilapan. Pemeriksaan mengejut perlu dilaksanakan oleh Pegawai Laksana atau Chief Mate bagi memastikan tiada pelaut melakukan aktiviti di luar jadual aktiviti rasmi.

Pengetahuan pelaut itu sendiri juga boleh menjadi punca sesuatu kemalangan. Mengambil contoh kes kemalangan USS Fitzgerald dengan kapal dagang ACX Crystal di perairan Jepun, penilai bebas terhadap perlanggaran itu meletakkan sebahagian besar kesalahan atas kegagalan pasukan di anjungan USS Fitzgerald.

Pasukan anjungan gagal mengelak dan memberi laluan kepada kapal kontena ACX Crystal yang mempunyai hak perjalanan (right of way), menurut peraturan lalu lintas maritim (rules of the road). Berdasarkan peraturan itu, kapal yang menyeberang dari kanan ke kiri kapal lain mempunyai hak meneruskan perjalanan, manakala kapal yang diseberangi itu perlu mengelak dan memberi laluan kepada kapal yang menyeberang itu.

Dalam kejadian ini, tiada tindakan mengelak dilakukan petugas anjungan walaupun terdapat risiko perlanggaran antara kapal mereka dan ACX Crystal.

Pengabaian terhadap prosedur juga menyebabkan kejadian kemalangan di laut. Contohnya, keanggotaan petugas yang tidak lengkap di anjungan perlu diambil serius oleh Pegawai Bertugas Anjungan (PBA). Mereka perlu pastikan ada pengganti setiap petugas yang meninggalkan tempat bertugas.

Sering berlaku kejadian Pengawas Kapal (Lookouts) meninggalkan tempat bertugas mereka sama ada untuk ke tandas atau atas alasan yang tidak munasabah tanpa kebenaran PBA. Lebih menyedihkan apabila PBA sendiri tidak menyedari ketiadaan petugas itu.

Keadaan akan menjadi buruk apabila terdapat kapal lain yang memberikan isyarat kecemasan menggunakan lampu dan tidak disedari kerana Pemerhati Kapal tadi tiada di posisi mereka. Bagi mengelakkan kejadian itu, PBA hendaklah sentiasa melakukan semak imbang dengan menghubungi atau menghantar Pegawai Bertugas Harian (PBH) memeriksa setiap posisi petugas secara rambang untuk memastikan mereka berada di posisi sepanjang waktu bertugas.

Sikap sambil lewa terhadap pelaksanaan tugas adalah kualiti pelaut yang perlu dielakkan. Apabila mereka melaksanakan tugas sambil lewa, banyak risiko kemalangan akan timbul. Contoh, carta kerja tidak dilakukan secara sempurna mendorong kapal melalui kawasan tidak selamat.

Pelaporan kontak di sekitar yang tidak diambil serius, tidak dilaksanakan pengiraan risiko pelanggaran melalui pemerhatian bearing dan jarak serta CPA di radar, tidak ditentukan kaedah untuk mengelak daripada pelanggaran dan tidak dilaporkan kepada PBA bagi kontak yang berisiko boleh menyebabkan risiko kemalangan.

Menjadi tanggungjawab Pegawai Memerintah atau Kepten untuk memastikan moral pegawai dan pelaut di tahap terbaik supaya dapat melaksanakan tugas sepenuh hati. Kebanyakan kes pegawai yang melakukan tugas sambil lewa kerana mereka mempunyai masalah semangat dalam diri akibat kecewa atau tidak puas hati selain kepenatan.

Unsur negatif itu perlu dikesan dan ditangani dengan baik. Antara langkah yang sering dilaksanakan di kapal ialah pengesanan awal individu bermasalah dan menugaskan pemantau kualiti semasa bertugas. Ia menambah beban pihak pemantau, namun pihak kapal tidak mempunyai pilihan untuk tidak mendedahkan kapal kepada risiko kemalangan.

Kapal juga perlu melaksanakan sesi latihan, aktiviti sosial, riadah dan kerohanian untuk meningkatkan kualiti pelaut.

Penulis Pensyarah Kanan, Fakulti Sains dan Teknologi Pertahanan, Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM)

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 30 September 2021 @ 6:15 AM