FOSIL karang purba pelbagai spesies dianggarkan berusia 300 juta tahun ditemukan di sebuah kawasan seluas 6.9 hektar berdekatan Kampung Changkat Tualang dekat sini. FOTO Bernama
FOSIL karang purba pelbagai spesies dianggarkan berusia 300 juta tahun ditemukan di sebuah kawasan seluas 6.9 hektar berdekatan Kampung Changkat Tualang dekat sini. FOTO Bernama
Noor Hidayah Tanzizi


Kuala Lumpur: Penemuan fosil karang purba pelbagai spesies dianggarkan berusia 300 juta tahun di kawasan seluas 6.9 hektar berdekatan Kampung Changkat Tualang, Kampar di Perak, membantu dalam pemahaman proses pembentukan bumi dan sejarah perkembangan geologi kawasan terbabit.

Felo dan Pengerusi Kluster Agama, Falsafah dan Ketamadunan Akademi Profesor Malaysia, Prof Emeritus Datuk Seri Dr Md Salleh Yaapar berkata, ia bukan saja untuk Kampar sebaliknya di seluruh Perak dan Semenanjung Tanah Melayu kerana faktor usia fosil berkenaan.

"Ia mungkin juga boleh membawa kepada penemuan lain yang dapat mengaitkannya dengan perkembangan prasejarah (bentuk bumi dan jenis hidupan) Asia Tenggara.

"Khususnya di Pentas Sunda (Sundaland), di Zaman Air Batu, Era Glasial Akhir, sekitar 110,000 hingga 12,000 tahun silam," katanya ketika dihubungi, di sini, hari ini.

Menurutnya, justeru fosil itu perlu dipelihara dan dipulihara oleh pelbagai pihak secara integral selain berpandangan sebuah galeri juga perlu dibina untuknya.

"Hal ini kerana ia seperti (penemuan) Manusia Perak dan Wanita Pulau Pinang, amat penting untuk penyelidikan dan pendidikan selain untuk pelancongan.

"Ia perlu dipulihara bersungguh-sungguh dan diangkat sebagai tapak Warisan Negara. Malah, sewajarnya fosil karang itu diperjuangkan sehingga diterima sebagai satu Tapak Warisan Dunia di bawah Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa Bangsa Bersatu (Unesco)," katanya.

Semalam media melaporkan beberapa jenis hidupan purba daripada spesies siput laut berkenaan yang sudah lama pupus itu dijumpai sekumpulan penyelidik Persatuan Jurupandu Pelancong Geopark Warisan Alam Semulajadi Perak (GEONAT) yang melakukan penyelidikan di kawasan itu.

Naib Pengerusi GEONAT Mohd Fadly Md Noor dilaporkan berkata, pihaknya menjelajah kawasan itu selepas melakukan rujukan daripada jurnal lama termasuk rekod pengkaji lama.

Dia dilaporkan berkata, penemuan itu yang pertama setakat ini pernah dijumpai di Perak khususnya daerah Kinta dan fosil itu ialah hidupan laut kuno yang muncul sejak zaman paleozoik sebelum wujudnya haiwan reptilia purba dinosaur.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 21 January 2024 @ 4:32 PM