KEADAAN Bukit Mengapur yang bakal terjejas sekiranya permohonan mengusahakannya diluluskan menyebabkan fosil berusia ratusan jutaan tahun musnah. FOTO Ihsan Pertubuhan Pelindung Khazanah Alam Malaysia (PEKA)
KEADAAN Bukit Mengapur yang bakal terjejas sekiranya permohonan mengusahakannya diluluskan menyebabkan fosil berusia ratusan jutaan tahun musnah. FOTO Ihsan Pertubuhan Pelindung Khazanah Alam Malaysia (PEKA)
Amin Ridzuan Ishak

Bagi individu yang tidak didedahkan dengan ilmu geologi atau paleontologi, mungkin mereka tidak menyedari nilai saintifik serta kekayaan khazanah alam yang ada di Bukit Mengapur di Maran, Pahang.

Ini kerana bukit kapur itu sebenarnya memberi jawapan atau bayangan bagaimanapun bentuk muka bumi di kawasan berkenaan dan sekitarnya pada ratusan jutaan tahun lalu yang mungkin ramai belum mengetahuinya.

Ahli Geologi dan Paleontologi di Institut Geologi Malaysia (IGM), Ahmad Rosli Othman P Geol berkata, bukit kapur itu amat berharga kerana hakikatnya ia sendiri adalah fosil terbina daripada cengkerang hidupan laut dan terumbu karang berusia ratusan juta tahun lampau.

Katanya, cerapan pada batu kapur di kawasan itu menunjukkan kehadiran fosil fusulind berusia 265-259 juta tahun seperti ditemui sekumpulan pengkaji daripada Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) yang terkandung dalam jurnal palaentologi.

“Bukit batu kapur itu adalah satu monumen menyimpan sejarah bumi Pahang, kewujudannya membuktikan bahawa ratusan juta tahun lampau, bumi negeri ini adalah kawasan lautan cetek dihuni haiwan purba termasuk terumbu karang.

“Batu kapur itu adalah satu daripada geotapak warisan yang harus dipulihara dan dipelihara, fosil terkandung dalam batuannya menambahkan lagi nilai saintifiknya terutamanya untuk penyelidikan, rekreasi, serta geopelancongan pada masa depan,” katanya.

KEADAAN dalam Bukit Mengkapur. FOTO Ihsan Pertubuhan Pelindung Khazanah Alam Malaysia (PEKA)
KEADAAN dalam Bukit Mengkapur. FOTO Ihsan Pertubuhan Pelindung Khazanah Alam Malaysia (PEKA)

Justeru itu, Ahmad Rosli risau apabila wujud perkhabaran mengatakan ada permohonan untuk mengusahakan bukit itu bagi tujuan perlombongan, kuari atau pembinaan kilang simen kerana ia akan memusnahkan khazanah berharga terbabit.

“Kita bimbang ia akan menerima nasib sama seperti di bukit batu kapur Panching (Kuantan) yang sangat kaya dengan fosil hidupan laut cetek berusia 330 juta tahun, nilai sejarah pada batu kapur yang menyimpan rahsia bumi ratusan juta tahun itu tidak ternilai harganya berbanding eksploitasi industri mineral.

“Ia akan memusnahkannya buat selama-lamanya dan ia tidak boleh diperbaharui, kita harus bersama memelihara geotapak bersejarah itu sama ada untuk geopelancongan atau penyelidikan ilmiah pada masa depan walaupun bukan pada hayat kita,” katanya yang berasal dari Maran.

Turut menyatakan kebimbangan sama adalah Presiden Pertubuhan Pelindung Khazanah Alam Malaysia (PEKA), Puan Sri Shariffa Sabrina Syed Akil yang berharap bukit kapur itu tidak menerima nasib sama seperti Gua Padang Kawad di Merapoh, Lipis.

“Tinjauan kami mendapati ada perkampungan Orang Asli di Kampung Tempesel yang didiami 150 orang daripada 20 keluarga, mereka bergantung sepenuhnya bekalan air bersih daripada Sungai Mak Ajar iaitu antara anak sungai Ulu Sungai Luit.

“Hasil herba hutan dan makanan seperti daging serta ikan juga dikatakan terjejas selain Bukit Mengapur adalah tempat suci dan makam lama. Mereka percaya gua dalamnya (antaranya Gua Cermin dan Gua Tongkat) dijaga roh nenek moyang mereka.

“Kita berharap ia dapat dipulihara dan digazetkan sebagai zon pelancongan untuk menarik lebih ramai pelancong melihat sejarah lama yang mampu memberi pulangan ekonomi untuk jangka panjang,” katanya.

KEADAAN dalam Bukit Mengkapur. FOTO Ihsan Pertubuhan Pelindung Khazanah Alam Malaysia (PEKA)
KEADAAN dalam Bukit Mengkapur. FOTO Ihsan Pertubuhan Pelindung Khazanah Alam Malaysia (PEKA)

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 24 Mac 2018 @ 6:14 AM