GAMBAR hiasan. FOTO Bernama
GAMBAR hiasan. FOTO Bernama
Nazdy Harun


Kuala Terengganu: Tarif baharu air dan caj elektrik bagi penggunaan kategori domestik di Terengganu dinaikkan sebanyak 16 sen setiap meter padu bermula 1 Februari depan.

Ketua Pegawai Eksekutif Syarikat Air Terengganu (SATU), Abdul Karim Endut berkata, kenaikan tarif baharu akan menjadikan harga baharu adalah 58 sen setiap meter padu.

Menurutnya, caj minimum bagi penggunaan domestik akan beralih daripada RM4 kepada RM5.80.

Katanya, bagi isi rumah yang menggunakan air sehingga 20 meter padu, kadar caj bagi setiap meter padu akan beralih dari 42 sen per meter padu kepada 58 sen per meter padu termasuk caj elektrik.

"Ini bermaksud bagi rumah yang menggunakan air 20 meter padu setiap bulan, caj baharu akan meningkat sebanyak RM3.20 sebulan atau 10.7 sen sehari.

"Caj elektrik sebelum ini diserap ke dalam operasi SATU namun bagi penyelarasan kali ini ianya tidak lagi diserap sebagai kos operasi," katanya pada Taklimat Pelaksanaan Pelarasan Kadar Perkhidmatan Bekalan Air Dan Caj Elektrik 2024, di Bilik Gerakan Satu, di sini, hari ini.

Menurutnya, penggunaan air 20 meter padu hingga 35 meter padu, kadar caj baharu bagi kategori ini akan beralih dari 65 sen per meter padu kepada 83 sen per meter padu.

Katanya, ini bermaksud peningkatan keseluruhan bagi rumah yang menggunakan air 36 meter padu adalah sebanyak RM5.90 sebulan atau 20 sen sehari.

Beliau berkata, manakala bagi penggunaan air melebihi 35 meter padu kadar caj baharu adalah RM1.08 termasuk caj elektrik berbanding kadar lama iaitu RM1.

Abdul Karim berkata, bagi kategori domestik pukal pula caj minimum secara pukal akan berubah kepada RM10.80 sebulan dan caj baharu beralih sebanyak 8 sen kepada RM1.08 bagi penggunaan setiap meter padu.

"Bagi kategori bukan domestik iaitu perusahaan komersial serta bangunan bukan domestik lain akan berlaku peralihan kadar baru kepada RM1.08 bagi penggunaan air sehingga 35 meter padu manakala penggunaan lebih daripada 35 meter padu dikenakan caj RM1.48 setiap meter padu.

"Kategori khas termasuk surau dan masjid, rumah ibadat dan institusi kebajikan serta perkapalan akan bertambah kepada 8 sen bagi setiap meter padu mengikut kadar sedia ada.

"Manakala program subsidi air percuma 20 meter padu oleh SATU akan diteruskan kepada golongan B40 yang layak termasuk masjid dan surau mengikut ketetapan kerajaan negeri," katanya.

Menurutnya, ianya membabitkan 13,715 akuan dengan jumlah keseluruhan RM2.5 juta setahun.

Katanya, SATU sebagai penyelia perkhidmatan bekalan air terawat di Terengganu, menyediakan perkhidmatan itu kepada lebih 1.2 juta rakyat meliputi 342,364 akaun termasuk pengguna domestik dan bukan domestik.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 22 January 2024 @ 1:31 PM