GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Muhammd Zulsyamini Sufian Suri


Ipoh: Tarif baharu air bagi kategori domestik di Perak akan dinaikkan pada kadar lima sen bagi setiap meter (m) padu bermula 1 Mei ini.

Penetapan kadar tarif air baharu di Perak adalah jauh lebih rendah berbanding kadar purata 22 sen yang ditetapkan oleh Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (Span).

Pejabat Menteri Besar Perak menerusi kenyataan berkata, peningkatan kadar lima sen itu sekali gus menunjukkan peningkatan kepada 75 sen setiap m padu, berbanding 70 sen, membabitkan penggunaan sehingga 20 m padu sebulan.

Katanya, manakala, caj bagi penggunaan 21 hingga 35 m padu sebulan ditetapkan pada kadar RM1.08, berbanding RM1.03 sebelum ini, juga menunjukkan peningkatan lima sen per m padu.

Menurutnya, bagi mengurangkan kesan perubahan tarif kepada pengguna domestik, Lembaga Air Perak (LAP) turut memberikan rebat pada kadar 40 sen setiap meter padu bagi penggunaan sehingga 10 m padu pertama sebulan iaitu bersamaan RM4 sebulan.

Dengan rebat berkenaan, katanya kadar purata tarif bagi penggunaan sehingga 20 m padu dapat dikurangkan kepada hanya 55 sen bagi setiap m padu berbanding 75 sen sekiranya tanpa rebat.

"Caj minimum bagi penggunaan domestik pula adalah RM7.50 sebelum mengambil kira pemberian rebat. Selepas mengambil kira rebat, caj minimum adalah RM3.50 berbanding kadar sekarang iaitu RM3," kata kenyataan itu hari ini

Menurutnya lagi, penetapan tarif baharu berkenaan bagaimanapun tidak menjejaskan program air percuma 25 m padu sebulan untuk golongan sasar, dan program air percuma 20 m padu untuk rumah ibadat.

"Penetapan baharu tarif air itu adalah yang pertama selepas 18 tahun apabila kali terakhir pindaan dilakukan pada 2006," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 18 April 2024 @ 10:28 AM