Medan Selera Damai kelihatan sepi kurang pelanggan. FOTO SAIFULLIZAN TAMADI
Medan Selera Damai kelihatan sepi kurang pelanggan. FOTO SAIFULLIZAN TAMADI
Mohammad Khairil Ashraf Mohd Khalid


Kuala Lumpur: Medan Selera Singgang Madani@Batu Bata, Titiwangsa, di sini, yang bakal menempatkan 26 penjaja makanan berkenaan dilihat sepi tanpa pengunjung.

Tinjauan mendapati medan selera yang dikenali sebagai Medan Selera Damai sebelum ini hanya terdapat dua kedai makanan sahaja beroperasi berbanding boleh memuatkan lebih 30 kedai.

Peniaga, Mawarni Mohd Kamel, 39, berkata hanya lima kedai sahaja beroperasi sekali gus mengakui pengunjung kurang datang ke medan selera itu.

Menurutnya, masalah utama kekurangan pengunjung disebabkan kemudahan meletakkan kenderaan.

"Tempat meletak kenderaan sedikit. Orang ramai pun tak tahu kewujudan medan selera ini. Disebabkan itu mereka tak datang ke sini.

"Apa yang diperlukan adalah promosi dilakukan oleh Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dan penambahan kemudahan tempat meletak kenderaan untuk menarik kedatangan pengunjung," katanya.

Dilaporkan seramai 26 penjaja gerai singgang di Jalan Dewan Sultan Sulaiman 1, Kampung Baru akan berniaga di lokasi baharu berkenaan iaitu Medan Selera Singgang Madani@Batu Bata, Titiwangsa.

DBKL menerusi kenyataannya memaklumkan, kerja meroboh deretan gerai di lokasi asal akan dilaksanakan, esok dan pihaknya sudah mengeluarkan notis pemakluman pengosongan tapak itu sejak Oktober lalu.

Mawarni berkata, pihaknya sebelum ini pernah melakukan pelbagai program bagi menarik pengunjung.

"Kami pernah buat pertandingan karaoke. Pada waktu itulah baru orang datang. Kalau tidak, memang tak ada," katanya.

Katanya, dari segi perolehan pendapatan, pihaknya hanya memperoleh maksimum RM300 dan minimum RM100 sehari.

"Kadang-kadang nak dapat RM100 itu pun susah. Kita pun bergantung kepada hiburan di sini. Kalau tak ada hiburan seperti karaoke, tempat ini mati," katanya.

Seorang lagi peniaga, Sumiati Sianturi, 60, turut menyatakan hanya memperoleh pendapatan kira-kira RM300 sehari.

"Itu pun saya mula berniaga dari 7 pagi sehingga 12 tengah malam. Pendapatan yang kita perolehi ini hanya sekadar cukup makan sahaja," katanya.

Menurutnya, lokasi tidak strategik seperti kurang kemudahan meletak kenderaan menyebabkan tiada pengunjung datang ke medan selera itu.

"Masalah besar di sini kurangnya tempat meletak kenderaan. Bila hari bekerja pula, tempat meletak kenderaan ini dipenuhi oleh pekerja yang bekerja di sekitar medan selera ini," katanya.

Dia yang sudah berniaga selama 13 tahun berkata, faktor lokasi tidak strategik di medan selera ini dikhuatiri boleh menjejaskan perniagaan.

"Kalau ada banyak tempat meletak kenderaan sini, semua orang boleh bertahan. Disebabkan itu, peniaga singgang berkenaan berat hati nak datang ke sini," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 21 January 2024 @ 2:31 PM