NORFARIZAH mengaku bersalah di Mahkamah Majistret Kajang. FOTO Hairul Anuar Rahim
NORFARIZAH mengaku bersalah di Mahkamah Majistret Kajang. FOTO Hairul Anuar Rahim
Suraya Roslan


Kajang: Seorang bekas pengarah syarikat perunding kontrak kerajaan didenda RM8,000 dan dikenakan penalti khas RM229,926.36 oleh Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan gagal mengemukakan borang penyata pendapatan dalam borang B bagi taksiran 2017 hingga 2019 membabitkan nilai cukai pendapatan sebanyak RM76,642.12.

Majistret Nik Siti Norazlini Nik Mohamed Faiz menjatuhkan hukuman itu terhadap Orang Kena Saman (OKS) Datin Norfarizah Bakar, 53, yang membuat pengakuan bersalah sebaik pertuduhan dibacakan.

Mahkamah turut menetapkan empat bulan penjara sekiranya OKS gagal membayar denda itu.

Mengikut pertuduhan, Norfarizah yang kini suri rumah didakwa gagal mengemukakan penyata pendapatan dalam Borang B bagi tahun taksiran 2017 hingga 2019 kepada Ketua Pengarah Hasil Dalam Negeri dengan tiada sebab munasabah yang membabitkan pendapatan bercukai berjumlah RM476,975.

Oleh itu, OKS melakukan suatu kesalahan di bawah Seksyen 112( 1A) Akta Cukai Pendapatan 1967 yang boleh dihukum di bawah seksyen dan akta sama.

Jika sabit kesalahan, boleh dikenakan denda tidak kurang daripada RM1,000 dan tidak lebih daripada RM20,000 atau penjara tidak melebihi enam bulan atau kedua-duanya sekali dan penalti khas sebanyak tiga kali ganda amaun cukai yang sepatutnya dikenakan.

Terdahulu, Nik Siti Norazlini bertanya kepada OKS sama ada dia faham dengan hukuman yang akan dikenakan berikutan Norfarizah berulang kali meminta tidak dikenakan penalti khas.

"Saya nak puan betul-betul faham hukuman kalau sabit kesalahan boleh didenda minimum RM1,000, maksimum RM20,000 atau penjara dan penalti khas, penalti khas ini mandatori, puan masih dengan pengakuan bersalah atau tidak," katanya.

Mendengar perkara itu, Norfarizah kekal dengan pengakuan bersalah dan memohon hukuman ringan kerana hanya seorang suri rumah serta tiada pendapatan dan kini bergantung kepada suami.

"Saya dilantik sebagai pengarah syarikat oleh suami, elaun itu untuk pengurusan rumah. Saya mohon diberi hukuman ringan, sepanjang siasatan dijalankan saya beri kerjasama yang baik," katanya.

Pegawai Pendakwa Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN), Mohd Shafuddin Hasan memohon mahkamah mengenakan hukuman setimpal demi kepentingan awam.

"Hukuman dikenakan harus setimpal dengan kesalahan OKS bagi memberi iktibar kepada masyarakat dan OKS mengenai betapa seriusnya kesalahan tidak menghantar borang tafsiran pendapatan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 10 January 2024 @ 2:07 PM