Pengarah Syarikat Kontraktor Pembinaan dan Penyelenggaraan, Yusof Ahmad (kanan) didenda RM23,000 dan penalti khas sebanyak RM1.284 juta selepas mengaku bersalah, atas dua pertuduhan gagal mengemukakan penyata pendapatan bercukai kepada Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN), tiga tahun berturut-turut. FOTO OMAR AHMAD
Pengarah Syarikat Kontraktor Pembinaan dan Penyelenggaraan, Yusof Ahmad (kanan) didenda RM23,000 dan penalti khas sebanyak RM1.284 juta selepas mengaku bersalah, atas dua pertuduhan gagal mengemukakan penyata pendapatan bercukai kepada Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN), tiga tahun berturut-turut. FOTO OMAR AHMAD
Oleh Omar Ahmad


Johor Bahru: Pengarah syarikat kontraktor pembinaan dan penyelenggaraan didenda RM23,000 dan penalti khas RM1.284 juta selepas mengaku bersalah atas dua pertuduhan gagal mengemukakan penyata pendapatan bercukai kepada Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN), bagi tiga tahun berturut-turut.

Orang Kena Saman (OKS), Yusof Ahmad, 38, membuat pengakuan itu di hadapan Majistret Nur Fatin Mohammad Farid di Mahkamah Majistret Johor Bahru, di sini, hari ini.

Mengikut kertas pertuduhan, Yusof sebagai pengarah yang bertanggungan di bawah Seksyen 75 Akta Cukai Pendapatan 1967 bagi syarikat EMF Energy Sdn Bhd, dikehendaki mengemukakan penyata pendapatan dalam Borang C bagi Tahun Taksiran 2019 dan Borang C bagi Tahun Taksiran 2020 mengenai pendapatan syarikat.

Bagaimanapun, OKS tiada sebab yang munasabah, gagal mengemukakan penyata-penyata itu yang mempunyai pendapatan bercukai sebagaimana yang ditentukan oleh Ketua Pengarah Hasil Dalam Negeri mengikut pertimbangan terbaiknya.

Pendapatan bercukai pada 2019 dan 2020 masing-masing sebanyak RM1.22 juta yang boleh dikenakan cukai RM293,126.40, dan sebanyak RM562,364 yang boleh dikenakan cukai RM134,967.36.

Pendakwaan dibuat mengikut Seksyen 112(1A) Akta Cukai Pendapatan 1967.

Manakala bagi kertas pertuduhan kedua, Yusof didakwa gagal mengemukakan suatu penyata pendapatan dalam Borang C bagi Tahun Taksiran 2021 mengenai pendapatan berkenaan syarikat yang sama.

Pendakwaan bagi pertuduhan kedua dibuat mengikut Seksyen 112(1) Akta Cukai Pendapatan 1967.

Kes dikendalikan Pegawai Pendakwa LHDN Mazlan Alias manakala OKS tidak diwakili peguam.

Yusof dalam rayuan memohon mahkamah supaya meringankan denda dan pembayaran penalti khas dibuat secara ansuran.

Mazlan dalam penghujahannya meminta mahkamah menjatuhi hukuman setimpal kerana OKS adalah pesalah cukai tegar apabila syarikat sama gagal mengemukakan Borang Nyata Cukai Pendapatan iaitu borang C bagi tahun taksiran 2019 dan 2020.

Syarikat ini juga, hujah Mazlan, pernah dikompaun bagi kesalahan gagal mengemukakan borang C bagi tahun taksiran 2003, 2009, 2015, 2016, 2017 dan 2018.

Mahkamah kemudian menjatuhi hukuman kepada OKS bagi pertuduhan pertama iaitu denda RM15,000 dan penalti khas RM1.284 juta (RM1,284,281) dibayar secara ansuran selama 12 bulan bermula hari ini.

Manakala pertuduhan kedua, OKS didenda RM8,000.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 17 Oktober 2023 @ 1:21 PM