Chong Sing Chai mengaku bersalah di Mahkamah Majistret Seremban atas pertuduhan gagal mengemukakan borang nyata pendapatan dalam borang B bagi taksiran tahun 2017 hingga 2021 membabitkan nilai cukai pendapatan sebanyak RM124,702.64. FOTO AZRUL EDHAM
Chong Sing Chai mengaku bersalah di Mahkamah Majistret Seremban atas pertuduhan gagal mengemukakan borang nyata pendapatan dalam borang B bagi taksiran tahun 2017 hingga 2021 membabitkan nilai cukai pendapatan sebanyak RM124,702.64. FOTO AZRUL EDHAM
Ahmad Hasbi


Seremban: Kontraktor pembinaan mengaku bersalah di Mahkamah Majistret di sini, hari ini atas pertuduhan gagal mengemukakan penyata pendapatan Borang B bagi tahun taksiran 2017 hingga 2021 membabitkan nilai cukai RM124,702.64.

Orang kena saman (OKS) Chong Sing Chai, 69, membuat pengakuan itu di hadapan Majistret Noor Hafiza Ishak selepas pertuduhan dibacakan terhadapnya.

Mengikut pertuduhan, tertuduh dengan tiada sebab yang munasabah gagal mengemukakan penyata pendapatan dalam Borang B bagi tahun taksiran 2017 hingga 2021 kepada Ketua Pengarah Hasil Dalam Negeri (LHDN) sebelum 30 Jun tahun berikutnya membabitkan pendapatan bercukai RM781,637 dengan nilai cukai RM124,702.64.

Justeru, tertuduh melakukan suatu kesalahan mengikut Seksyen 112(1A) Akta Cukai Pendapatan 1967 yang boleh dihukum mengikut seksyen dan akta yang sama.

Sekiranya disabit kesalahan boleh dikenakan denda tidak kurang daripada RM1,000 dan tidak lebih daripada RM20,000 atau penjara tidak melebihi enam bulan atau kedua-duanya sekali dan penalti khas sebanyak tiga kali ganda amaun cukai yang sepatutnya dikenakan.

OKS dalam rayuannya memaklumkan kepada mahkamah yang dia tidak mampu membayar denda yang tinggi, malah tidak pernah mengemukakan rayuan selepas saman diserahkan kepadanya pada 4 Ogos lalu.

Noor Hafizah memaklumkan kepada mahkamah sudah merekodkan pengakuan bersalah kepada OKS, namun menangguhkan fakta kes dan hukuman kerana warga emas itu tidak bersedia untuk membayar denda.

Mahkamah meminta OKS supaya hadir semula ke mahkamah pada 13 Oktober ini untuk sebutan semula kes.

"Jika mahkamah tidak berpuas hati dengan penangguhan diberikan, saya akan teruskan dengan fakta kes dan hukuman," katanya.

Kes dikendalikan Pegawai Pendakwa LHDN Maizatul suhaila Zukifli.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 4 September 2023 @ 2:19 PM