Zatul Iffah Zolkiply


Kuala Terengganu: Pengarah syarikat pembinaan didenda RM9,000 dan dikenakan penalti khas hampir RM537,000 di Mahkamah Majistret, di sini, hari ini kerana gagal mengemukakan penyata pendapatan syarikat selama dua tahun.

Nur Faraziela Mohamad, 42, yang juga Orang Kena Saman (OKS) turut berdepan hukuman penjara sembilan bulan jika gagal menjelaskan denda berkenaan.

Justeru, OKS perlu menjelaskan cukai tertunggak bagi tahun taksiran 2019 dan 2020 sebanyak RM178,849.71 dan turut dikenakan penalti khas tiga kali ganda amaun cukai berjumlah RM536,549.13.

Majistret Yuhanis Mohd Roslan menjatuhkan hukuman itu selepas Nur Faraziela mengaku bersalah sebaik pertuduhan dibacakan.

Mengikut kertas pertuduhan, OKS didakwa gagal mengemukakan penyata yang mempunyai pendapatan bercukai RM28,083 yang boleh dikenakan cukai RM4,774.11 bagi tahun taksiran 2019 dan RM900,315 yang boleh dikenakan cukai sebanyak RM174,075.60 bagi tahun taksiran 2020.

PENGARAH sebuah syarikat kontraktor pembinaan (dua kanan) didenda RM9,000 dan dikenakan penalti khas hampir RM537,000 di Mahkamah Majistret di sini. FOTO Ghazali Kori
PENGARAH sebuah syarikat kontraktor pembinaan (dua kanan) didenda RM9,000 dan dikenakan penalti khas hampir RM537,000 di Mahkamah Majistret di sini. FOTO Ghazali Kori

Sebagai pengarah syarikat, OKS dikehendaki mengemukakan penyata pendapatan syarikat kepada Ketua Pengarah Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) dalam tempoh tujuh bulan dari tarikh penutupan akaun.

Bagi kesalahan itu, Nur Faraziela dia didakwa mengikut Seksyen 112(1A) Akta Cukai Pendapatan 1967.

Sabit kesalahan boleh didenda tidak kurang RM1,000 dan tidak lebih RM20,000 atau penjara maksimum enam bulan atau kedua-duanya, dan penalti khas tiga kali ganda jumlah cukai yang dikenakan, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa LHDN Noor Mazida Buliami, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 20 Disember 2023 @ 1:44 PM