BURUH dijatuhi hukuman penjara 10 tahun dan 10 sebatan di Mahkamah Sesyen di sini hari ini selepas mengaku bersalah merogol anak tiri . FOTO Nik Abdullah Nik Omar
BURUH dijatuhi hukuman penjara 10 tahun dan 10 sebatan di Mahkamah Sesyen di sini hari ini selepas mengaku bersalah merogol anak tiri . FOTO Nik Abdullah Nik Omar
Hidayatidayu Razali


Kota Bharu: Seorang buruh dijatuhi hukuman penjara 10 tahun dan 10 sebatan di Mahkamah Sesyen di sini hari ini selepas mengaku bersalah merogol anak tiri perempuan bawah umur, pada Jun 2023.

Hakim Nooriah Osman membuat keputusan itu selepas tertuduh yang berusia 32 tahun mengaku bersalah atas pertuduhan yang dibacakan jurubahasa mahkamah.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa merogol anak tiri perempuan berusia 13 tahun tujuh bulan ketika kejadian.

Kesalahan itu didakwa mengikut Seksyen 376(3) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang lapan tahun dan tidak lebih 30 tahun dan tidak kurang 10 sebatan.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Ahmad Faiz Fitri Mohamad dan tertuduh tidak diwakili peguam.

Terdahulu, Ahmad Faiz Fitri memohon hukuman setimpal untuk beri pengajaran dan demi kepentingan awam.

"Kejadian itu memberi kesan kepada mangsa kerana dia masih bersekolah," katanya.

Tertuduh merayu supaya mahkamah mengurangkan hukuman penjara terhadapnya kerana sudah insaf dan berjanji tidak mahu mengulanginya.

Mahkamah menjatuhkan hukuman penjara 10 tahun yang bermula dari tarikh tangkap iaitu pada 29 Jun 2023 dan 10 sebatan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 9 January 2024 @ 4:12 PM