ANTHONY Loke ketika Pembentangan Laporan Prestasi 2023 dan Pelan 2024 Prasarana Malaysia Berhad (PRASARANA) di Menara UOA Bangsar hari ini. FOTO Bernama
ANTHONY Loke ketika Pembentangan Laporan Prestasi 2023 dan Pelan 2024 Prasarana Malaysia Berhad (PRASARANA) di Menara UOA Bangsar hari ini. FOTO Bernama
Alzahrin Alias


Kuala Lumpur: Projek pembinaan Transit Aliran Ringan 3 (LRT3) berada di landasan tepat bagi memulakan operasi pada 2025 dengan kemajuan setakat 25 Disember 2023 sudah mencapai 91.86 peratus.

Sementara itu, kemajuan projek Laluan Sistem Transit Rapid (RTS) Link sudah berada pada kadar 33.71 peratus bagi sistem dan 65 peratus bagi infrastruktur yang membolehkannya memulakan operasi pada 2026.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke berkata, kedua-dua projek itu kelak bakal memberikan manfaat kepada jutaan penduduk di Lembah Klang dan Johor serta Singapura.

"LRT3 dijangka siap pada 1 Mac 2025 manakala RTS Link pada 31 Disember 2026. Bagi penambahan lima stesen baharu untuk LRT3 seperti diumumkan kerajaan baru-baru ini, ia dijangka akan mengambil masa penyiapan baharu dan akan selesai pada 1 Mac 2027," katanya selepas taklimat prestasi Prasarana 2023 di sini, hari ini.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika membentangkan Belanjawan 2024 lalu menyatakan Kerajaan akan meneruskan semula cadangan pembinaan lima stesen LRT3 yang dibatalkan sebelum ini membabitkan kos RM4.7 bilion.

Lima stesen berkenaan merangkumi stesen Tropicana, Raja Muda, Temasya, Bukit Raja dan Bandar Botanik.

Projek pembinaan LRT3 yang bermula di Bandar Utama dan berakhir di Johan Setia, Selangor bakal memberikan manfaat kepada dua juta penduduk.

RTS Link pula adalah rangkaian rel sepanjang empat kilometer yang menghubungkan Bukit Chagar, Stesen Johor Bahru dan Woodlands di Singapura.

Projek RTS Link dijangka mampu menarik 35 peratus daripada 350,000 orang yang bergerak melalui Tambak Johor setiap hari.

Rangkaian itu akan mempunyai kapasiti penumpang sebanyak 10,000 orang sejam, dengan itu membantu meringankan kesesakan trafik di lebuh raya.

Ditanya mengenai perkembangan cadangan pembinaan LRT di Johor Bahru, Loke berkata pihaknya masih belum menerima sebarang kertas cadangan mengenainya.

Kerajaan Johor sebelum ini menyatakan akan menyerahkan kertas cadangan pembinaan LRT Johor Bahru kepada Kerajaan Persekutuan dalam masa terdekat.

Malah, kajian pelaksanaan pembinaan LRT di Johor Bahru juga sedang dilaksanakan beberapa agensi termasuk Pihak Berkuasa Wilayah Pembangunan Iskandar (IRDA) dan Perbadanan Pengangkutan Awam Johor (PAJ).

Dalam perkembangan lain, Loke berkata Kementerian Pengangkutan akan menetapkan dasar baharu dalam pembelian bas pada masa hadapan dengan tumpuan kepada bas elektrik.

Beliau berkata, dasar itu akan dimulakan dengan Prasarana yang akan memulakan penggunaan bas elektrik untuk perkhidmatannya.

Katanya, pembelian yang akan dianugerahkan pada Mac ini membabitkan 310 bas adalah kontrak pembelian terakhir Prasarana untuk bas diesel dengan tempoh serahan dijangka akan bermula suku pertama 2025.

"Saya sudah arahkan dan tetapkan dasar itu adalah kontrak terakhir pembelian bas diesel. Kita tidak boleh batalkan kontrak kerana ia sudah di peringkat akhir. Namun selepas ini, pembelian bas oleh Prasarana perlulah membabitkan bas elektrik," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 9 January 2024 @ 4:01 PM