Kuala Lumpur: Prasarana Malaysia Bhd (Prasarana) mengumumkan pelantikan Malaysian Resources Corp Bhd (MRCB) dan George Kent (M) Bhd sebagai Rakan Pelaksana Projek (PDP) bagi projek Transit Aliran Ringan Laluan 3 (LRT3).

Pengarah Urusan Prasarana Datuk Azmi Abdul Aziz berkata, pelantikan itu menerima kelulusan Kementerian Kewangan dan projek itu menelan kos perbelanjaan RM9 bilion. Ia dijangka dimulakan awal tahun depan selepas mendapat kelulusan pihak berwajib serta siap menjelang 31 Ogos 2020.

“Jumlah RM9 bilion tidak termasuk kos pembelian tanah dan ia hanya membabitkan projek pembinaan keseluruhan LRT3. Kami menjangka kos projek LRT3 tidak meningkat walaupun berdepan dengan ketidaktentuan nilai ringgit,” katanya pada sidang media di sini, semalam.

Dengan pelantikan PDP terbabit, menjadikan MRCB-George Kent JV berperanan keseluruhan memantau projek LRT3 dan melantik kontraktor.

Azmi berkata, namun pelantikan kontraktor diputuskan menjelang akhir tahun. dan perlu melalui proses pra-kelayakan (PQ).

Projek LRT3 akan menyediakan perkhidmatan kepada lebih dua juta komuter di sepanjang jajaran yang akan menghubungkan Bandar Utama, Damansara dan Johan Setia di Klang menjelang 2025.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 5 September 2015 @ 5:04 AM