PRASARANA menyifatkan pengembalian semula tiga stesen LRT3 dapat menambah baik perkhidmatan pengangkutan awam. FOTO NSTP.
PRASARANA menyifatkan pengembalian semula tiga stesen LRT3 dapat menambah baik perkhidmatan pengangkutan awam. FOTO NSTP.
BERNAMA

Kuala Lumpur: Pengembalian semula lima stesen Transit Aliran Ringan 3 (LRT3) yang sebelum ini dibatalkan cadangan pembinaannya, dijangka mampu menambah baik kesalinghubungan perkhidmatan pengangkutan awam itu.

Prasarana Malaysia Berhad (Prasarana) dalam kenyataan memaklumkan peruntukan RM4.7 bilion untuk menaik taraf projek LRT3 (LRT Laluan Shah Alam) dan sistem sokongan, merupakan berita baik buat pengguna pengangkutan awam khususnya bagi mereka yang berada di koridor barat Lembah Klang meliputi kawasan dari Johan Setia, di Klang, Selangor ke Bandar Utama, Petaling Jaya.

"Ia bakal memberi manfaat kepada dua juta pengguna di sepanjang koridor berkenaan," menurut kenyataan itu.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika membentangkan Belanjawan 2024 Malaysia MADANI di Dewan Rakyat hari ini berkata kerajaan bersetuju meneruskan semula cadangan pembinaan lima stesen LRT3 yang dibatalkan sebelum ini iaitu stesen Tropicana, Raja Muda, Temasya, Bukit Raja dan Bandar Botanik.

Menurut Prasarana peruntukan itu juga merangkumi perolehan tiga set tren tambahan, penambahbaikan sistem sokongan dan perluasan depoh sedia ada di Johan Setia.

Dalam pada itu, perolehan 150 unit bas elektrik dan pembinaan tiga depoh bas oleh Prasarana dengan kos RM600 juta bagi menyediakan kemudahan batuan pertama dan terakhir untuk projek LRT3 adalah langkah menyokong pelepasan karbon sifar bersih.

Sementara itu, Prasarana juga menyambut baik penerusan inisiatif pas bulanan My50 bagi pengguna pengangkutan awam yang bakal memberikan manfaat kepada hampir 180,000 pengguna.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 13 Oktober 2023 @ 10:33 PM