Raja Noraina Raja Rahim


Kuala Lumpur: Seramai 31 warga asing termasuk dua wanita ditahan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) menerusi Operasi Kutip di sekitar kawasan tumpuan di ibu kota, malam tadi.

Dalam serbuan bermula 9.30 malam, mereka yang berusia antara 19 hingga 50 tahun ditahan selepas disyaki melakukan pelbagai kesalahan termasuk menyalahguna pas dengan menjalankan perniagaan.

Operasi dijalankan di sekitar pusat beli-belah Suria KLCC, Pavillion Bukit Bintang dan Jambatan Saloma di sini, susulan aduan orang ramai mengenai kebanjiran pendatang asing tanpa izin (Pati) terutama pada hari minggu di kawasan itu.

Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) JIM, Jafri Embok Taha berkata, serbuan dengankerjasama Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) membabitkan kekuatan 46 pegawai dan anggota.

"Kita menjalankan risikan selama seminggu berdasarkan maklumat awam sebelum operasi dijalankan malam ini.

"Seramai 120 warga asing diperiksa dan daripada jumlah itu, 31 individu ditahan atas pelbagai kesalahan iaitu 24 ditahan sekitar KLCC manakala tujuh ditahan di Pavillion.

"Mereka yang ditahan terdiri daripada lapan warga Bangladesh; India (6); masing-masing empat warga Indonesia, Pakistan dan Nepal; Filipina (3); masing-masing satu Afghanistan serta Syria," katanya dalam sidang media di lokasi serbuan di KLCC di sini, malam tadi.

Timbalan Ketua Pengarah Bahagian Penguatkuasa (Operasi) Jabatan Imigresen Malaysia Putrajaya, Jafri Embok Taha (kiri) ketika operasi pendatang asing tanpa izin (PATI) di sekitar KLCC. FOTO HAIRUL ANUAR RAHIM
Timbalan Ketua Pengarah Bahagian Penguatkuasa (Operasi) Jabatan Imigresen Malaysia Putrajaya, Jafri Embok Taha (kiri) ketika operasi pendatang asing tanpa izin (PATI) di sekitar KLCC. FOTO HAIRUL ANUAR RAHIM

Mengulas lanjut, beliau berkata, semasa serbuan dilakukan turut berlaku cubaan melarikan diri namun kecekapan pegawai penguat kuasa berjaya menahan mereka.

Katanya, kesemua ditahan akan dibawa ke Pejabat JIM Kuala Lumpur untuk proses dokumentasi dan siasatan lanjut sebelum warga asing yang didapati melanggar peraturan akan dihantar ke Depoh Tahanan Imigresen Bukit Jalil untuk tindakan lanjut.

Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 15(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 dan Peraturan 39B Peraturan Imigresen.

Ditanya mengenai terdapat warga asing yang dikesan menjalankan perniagaan seperti menjual makanan dan minuman di kaki lima serta barangan lain, Jafri berkata, ia menjadi kesalahan sekiranya mereka gagal mengemukakan permit sah.

"Hasil pemeriksaan dilakukan, kebanyakan mereka menyalahgunakan pas atau permit kerja. Sepatutnya mereka masuk ke negara ini bagi pekerjaan di sektor tertentu tapi melakukan pekerjaan lain iaitu menjual," katanya.

Kata beliau, JIM tidak berkompromi dan mengambil tindakan tegas terhadap warga asing termasuk majikan atau individu yang didapati melindungi pati.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 6 January 2024 @ 10:59 PM