Hafidzul Hilmi Mohd Noor

Shah Alam: Sembunyi bawah kolong selama setengah jam sebelum ditemui dalam keadaan berdebu.

Taktik itu dimainkan sekumpulan warga asing yang cuba mengelak daripada ditahan pihak berkuasa dalam serbuan di penempatan haram di Setia Alam, awal pagi ini.

Penempatan haram itu lengkap dengan kemudahan surau, tandas, kedai runcit, warung makan, bekalan air dan elektrik, dibina di atas tanah berkeluasan 0.6 hektar di kebun sawit milik warga tempatan.

Dikatakan kumpulan pendatang asing tanpa izin (Pati) yang menghuni lokasi itu membayar sewa kira-kira RM6,000 sebulan kepada tuan tanah sejak empat tahun lalu.

Mereka berjaya dikesan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) yang menyerbu penempatan haram berkenaan menerusi Op Bersepadu bersama Pasukan Gerakan Am (PGA), Jabatan Pendaftaran Negara (JPN), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dan Majlis Bandaraya Shah Alam.

Serbuan pada 2.30 pagi dan berakhir pada 5 pagi itu berjaya menahan 132 warga asing dari Indonesia dan Bangladesh berusia sembilan bulan sehingga 60 tahun.

Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) Imigresen, Jafri Embok Taha berkata, operasi yang membabitkan 220 pegawai dan anggota itu bermula dengan mengepung kawasan yang dipagar menggunakan zink.

"Pemeriksaan dilakukan ke atas 156 warga asing dan hasilnya, seramai 132 individu ditahan merangkumi 78 lelaki, 41 wanita dan 13 kanak-kanak lelaki dan perempuan.

"Mereka ini bekerja di kawasan sekitar sebagai tukang cuci, buruh binaan dan pekerja restoran dan mendiami penempatan ini sejak empat tahun lalu," katanya pada sidang media selepas tamat operasi terbabit.

ANTARA pendatang asing tanpa izin yang ditahan dalam serbuan di penempatan haram di Setia Alam. FOTO Hafidzul Hilmi Mohd Noor.
ANTARA pendatang asing tanpa izin yang ditahan dalam serbuan di penempatan haram di Setia Alam. FOTO Hafidzul Hilmi Mohd Noor.

Beliau berkata, siasatan awal mendapati, pemilik tanah warga tempatan dipercayai membekalkan bekalan elektrik kepada penghuni di penempatan terbabit.

"Bagi bekalan air pula, mereka ambil daripada air bukit serta menggali perigi. Bagi kelengkapan harian, penempatan ini mempunyai kedai runcit yang menjual pelbagai barangan harian.

"Pemeriksaan lanjut akan dilakukan bagi mengesan pemilik tanah bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 55E Akta Imigresen 1959/63," katanya.

Katanya, semua warga asing yang ditahan akan dibawa ke Bahagian Penguatkuasa JIM Selangor untuk saringan dokumentasi sebelum dimuktamadkan proses tangkapan.

"JIM mengingatkan orang ramai dan majikan supaya tidak melindungi Pati atau terpaksa berhadapan dengan tindakan undang-undang. Orang ramai yang mempunyai maklumat boleh menyalurkan kepada pihak JIM untuk tindakan lanjut.

"Operasi pada hari ini adalah siri operasi yang dilaksanakan JIM dan akan dilakukan secara berterusan berdasarkan aduan yang diterima," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 18 Februari 2024 @ 7:52 AM