Mohd Irwan Faizal, 40 terpaksa menaiki bot membawa keluar untuk ke sekolah Kebangsaan (SK) Gual To deh susulan perkarangan rumahnya di genangi air banjir ketika ditemui di Kampung Tersang. FOTO NIK ABDULLAH NIK OMAR
Mohd Irwan Faizal, 40 terpaksa menaiki bot membawa keluar untuk ke sekolah Kebangsaan (SK) Gual To deh susulan perkarangan rumahnya di genangi air banjir ketika ditemui di Kampung Tersang. FOTO NIK ABDULLAH NIK OMAR
Syaherah Mustafa

Rantau Panjang: "Buat masa sekarang, saya perlu biasakan diri naik perahu untuk pergi dan pulang sekolah," kata Nur Damia Qaisara Mohd Irwan.

Kediaman Nur Damia, 10, masih dilanda banjir termenung menyebabkan murid Sekolah Kebangsaan (SK) Gual To'Deh itu perlu melintasi kawasan rumah ke jalan utama dengan menggunakan perahu.

Menurutnya, jika tidak dibawa dengan perahu pasti habis basah kasut dan baju sekolah yang dipakai kerana air masih lagi mencecah paras 0.5 meter di pekarangan rumah di Kampung Tersang di sini, hari ini.

"Saya berterima kasih kepada ibu dan ayah kerana sempat menyelamatkan baju serta peralatan sekolah yang lain kerana mereka menyimpannya di dalam kereta ketika bah melanda.

"Tadi di dalam kelas, ramai rakan-rakan saya yang berpakat biasa serta berselipar sahaja kerana kebanyakan mereka juga menjadi mangsa banjir. Ada juga rakan yang tidak hadir hari ini, terutama mereka yang tinggal di kawasan rendah kerana masih digenangi banjir.

"Bapa tidak membenarkan saya meredah banjir kerana risau kasut serta baju basah dan kotor, tambahan pula air sudah menjadi busuk kerana bertakung terlalu lama," katanya ketika ditemui selepas pulang daripada sekolahnya.

Nur Damia berkata, bagaimanapun suasana di sekolah tetap meriah walaupun masing-masing ada yang tidak lengkap berpakaian seragam selain guru juga bertanya khabar dia dan rakan-rakan yang lain.

Sementara itu, bapa Nur Damia, Mohd Irwan Faizal, 40, berkata, dia sendiri tidak tahu berapa lama lagi air itu akan bergenang halaman rumahnya.

"Sukar sebenarnya bila anak-anak perlu keluar awal pagi ke sekolah yang mana saya perlu membawa mereka menaiki perahu terlebih dahulu sebelum menunggang motosikal ke sekolah.

"Walaupun air sudah semakin cetek, ada perkara lain pula yang dirisaukan iaitu haiwan berbisa seperti ular dan lipan yang ada di air yang bertakung lama.

"Bagaimanapun, saya tetap memastikan anak-anak ke sekolah terutama pada hari pertama persekolahan bagi 2024," katanya.

Menurutnya, dia bersyukur kerana mempunyai perahu sendiri untuk digunakan sepanjang musim banjir selain berharap agar tiada lagi gelombang keempat memandangkan persekolahan anak-anak juga sudah bermula.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 2 January 2024 @ 2:55 PM