DAMIA menunjukkan wajahnya sebelum mengalami masalah lidah membengkak. FOTO Mary Victoria Dass
DAMIA menunjukkan wajahnya sebelum mengalami masalah lidah membengkak. FOTO Mary Victoria Dass
Mary Victoria Dass


Johor Bahru: "Sudah beberapa hari Damia terpaksa berlapar dan hanya minum air dan susu kerana keadaan lidah yang semakin membengkak dan tersembul keluar," kata suri rumah, Siti Nor Hidayah Zulkepli, 37, di Kempas Baru, di sini.

Siti Nor Hidayah berkata, setiap kali mengalami permasalahan berkenaan, anak sulung dari tiga beradik, Nur Qalesya Damia atau lebih mesra dengan gelaran Damia, 11, turut mengalami kesulitan untuk bertutur.

Menurutnya, keadaan itu juga mengakibatkan Damia tidak dapat bersekolah dan kerap bercuti hingga dikhuatiri keciciran dalam pelajaran.

Katanya, Damia yang juga merupakan pengawas Sekolah Kebangsaan (SK) Kempas di sini mengambil bahagian dalam pelbagai aktiviti persekolahan dan minat dalam pembelajaran.

"Damia memang mengalami penyakit kelenjar sejak bayi dan pernah menjalani pembedahan pembuangan ketumbuhan di bahagian leher pada usia dua tahun.

"Malah pada usia lapan tahun, lidahnya pernah tersembul keluar dengan ketara hingga menjadi perhatian media mahupun beberapa pihak.

"Doktor pernah mencadangkan pembedahan susulan namun kami menolak kerana Damia berdepan risiko bisu atau menghadapi komplikasi lain.

"Doktor menyatakan masalah kesihatannya mungkin boleh pulih sepenuhnya sekiranya dia mengambil ubat secara berterusan hingga 13 tahun namun sebagai ibu bapa apakah daya kami kerana setiap bulan ia memakan kos kira-kira RM500 hingga bekalan ubatnya kerap terputus," katanya.

Siti Nor Hidayah berkata, keluarganya bergantung kepada pendapatan harian suaminya yang merupakan penjual air dalam balang.

Menurutnya, selain Damia, mereka juga menyara anak berusia tujuh dan tiga tahun.

"Sebagai ibu saya sedih melihat keadaan anak saya kerana dia masih memiliki masa depan dan permasalahan dialami boleh membantutkan cita-citanya untuk menjadi doktor serta membantu pesakit.

"Sebelum ini memang ada pihak yang tampil menghulurkan sumbangan secara one-off dan menziarahinya namun sehingga kini permasalahan anak tiada penyelesaian dan penderitaannya tiada kesudahan.

"Pada peringkat awal bekas ketua kampung Kempas, arwah Daud Salim pernah membantu dan kerap ambil berat namun selepas ketiadaannya, kami tidak mengetahui saluran bagi mendapatkan nasihat atau bantuan," katanya.

Siti Nor Hidayah berkata, dia bersyukur kerana bekas guru sekolah Damia, Admi Tugiman kerap memberi semangat kepada keluarganya supaya berfikiran positif dan terus berdoa bagi kesembuhan Damia.

Menurutnya, dia dan suaminya, Mohd Rashid Jamil, 37, berharap Majlis Agama Islam Johor (MAIJ) membantu keluarganya dalam meringankan kos perubatan bulanan Damia.

Siti Nor Hidayah berkata demikian ketika menerima kunjungan daripada Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kempas, Datuk Ramlee Bohani di sini, hari ini.

Hadir sama, Ketua Kampung Kempas Permatang, Mukim Tebrau, Airizam Bollah.

Ramlee berkata, pihaknya akan berusaha bagi membantu keluarga berkenaan merawat penyakit Damia.

Orang ramai boleh menghulurkan sumbangan bagi menampung rawatan Damia menerusi akaun Bank Islam Siti Nor Hidayah di 01041027157782 atau menghubungi talian 0195284757.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 15 September 2022 @ 2:40 PM