Zatul Iffah Zolkiply

Kuala Nerus: Tiga sekolah yang masih ditutup akibat banjir di Dungun, akan kembali dibuka untuk sesi persekolahan selewat-lewatnya, Ahad ini.

Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri Terengganu (JPNT) Jelani Sulong berkata, sekolah terbabit adalah Sekolah Kebangsaan (SK) Pasir Raja, SK Kampung Shukor dan SK Minda Talong.

Beliau berkata, proses pembersihan masih dijalankan di tiga sekolah berkenaan dengan usaha Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Dungun.

"Semua sekolah di seluruh negeri sudah kembali dibuka untuk sesi persekolahan kecuali tiga sekolah di Dungun itu yang masih diberi kelonggaran, cuti bencana.

"PPD giat menjalankan kerja-kerja pembersihan termasuk mencari kelengkapan sementara seperti kerusi dan meja untuk kegunaan murid.

"Kita jangka ia boleh dibuka selewat-lewatnya Ahad ini, dan kita juga masih mengenal pasti kerosakan di semua sekolah yang terjejas akibat banjir sebelum dirujuk kepada kementerian bagi kerja-kerja pembaikan," katanya.

Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri Terengganu (JPNT), Jelani Sulong memberikan kata kata semangat kepada  Calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) sebelum menduduki peperiksaan Bahasa Melayu Kertas Satu ketika tinjauan hari pertama SPM 2023 di Sekolah Menengah Sains Sultan Mahmud hari ini. FOTO GHAZALI KORI
Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri Terengganu (JPNT), Jelani Sulong memberikan kata kata semangat kepada Calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) sebelum menduduki peperiksaan Bahasa Melayu Kertas Satu ketika tinjauan hari pertama SPM 2023 di Sekolah Menengah Sains Sultan Mahmud hari ini. FOTO GHAZALI KORI

Beliau berkata demikian ketika meninjau hari pertama SPM 2023 di Sekolah Menengah Sains Sultan Mahmud Kuala Nerus di sini, hari ini.

Jelani berkata, tiada sekolah dijadikan pusat pemindahan sementara selepas Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Padang Pulut di Dungun, dijadikan PPS, ditutup, petang semalam.

Beliau berkata, 34 mangsa banjir sebelum ini berada di sekolah berkenaan.

Pada tahun ini, seramai 18,494 termasuk 105 calon berkeperluan khas (CBK) menduduki peperiksaan SPM di 176 pusat peperiksaan di Terengganu, bermula pagi ini.

Daripada jumlah itu, 3,420 calon di Kuala Terengganu, diikuti 3,005 calon di Besut, Kemaman (2,827 calon), Kuala Nerus (2,615) dan Dungun (2,284 calon).

Selain itu, seramai 1,742 calon di Marang diikuti 1,469 calon di Hulu Terengganu dan 1,130 calon di Setiu.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 30 January 2024 @ 9:56 AM