BERNAMA

Permaisuri: Sebanyak 16 pusat peperiksaan di negeri ini yang dijadikan pusat peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) di Terengganu dikenal pasti berisiko dilanda banjir gelombang keempat.

Timbalan Ketua Pengarah Pendidikan Malaysia (Sektor Pembangunan Profesionalisme) Shafruddin Ali Hussin berkata ia membabitkan 224 pelajar di daerah Hulu Terengganu, Setiu, Dungun dan Besut.

Sehubungan itu, pihak Jabatan Pendidikan Negeri Terengganu (JPNT) telah membuat persiapan termasuk memindahkan pelajar ke asrama atau sekolah berdekatan supaya pelajar boleh menduduki peperiksaan mengikut jadual yang ditetapkan iaitu bermula 31 Januari hingga 7 Mac 2024.

"Bagi Terengganu, kita sudah kenal pasti 224 pelajar yang akan duduki SPM mungkin hadapi masalah dari segi lokaliti jika banjir berlaku lagi.

"Bagaimanapun, tindakan sudah diambil di peringkat JPNT dan Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) untuk tempatkan pelajar di asrama atau di tempat terdekat dengan pusat peperiksaan untuk pastikan mereka boleh ambil peperiksaan seperti dirancang," katanya ketika ditemui selepas operasi pembersihan banjir di Sekolah Kebangsaan (SK) Sungai Las di sini hari ini.

Sebanyak 37 sukarelawan Kementerian Pendidikan (KPM) terbabit dalam operasi berkenaan.

Dalam pada itu, Shafruddin berkata jumlah kerugian dihadapi sekolah akibat tiga gelombang banjir di Terengganu baru-baru ini dianggarkan sebanyak RM340,000 yang membabitkan kerosakan perabot dan kelengkapan.

Perkara itu menurutnya, sudah dikemukakan kepada KPM untuk tindakan lanjut dan peruntukan akan disalurkan kepada sekolah terbabit dalam masa terdekat.

"Kerugian ini membabitkan kerosakan seperti perabot, pintu … tidak termasuk buku teks dan lain-lain. Kita dah angkat perkara ini ke KPM, insya-Allah peruntukan akan turun dalam masa terdekat untuk baik pulih apa yang rosak," katanya.

Shafruddin berkata keseluruhannya, sebanyak 53 sekolah di lapan daerah di negeri ini terjejas akibat tiga gelombang banjir yang melanda Terengganu bermula 20 November lalu. manakala 79 sekolah pula sudah dijadikan sebagai pusat pemindahan sementara (PPS) untuk menempatkan mangsa banjir di kesemua daerah.

"Operasi pembersihan di semua sekolah yang terjejas dan dijadikan PPS dijangka selesai hari ini. Cuma di PPS SK Tanjung Pati, Dungun sahaja yang belum siap kerana masih ada mangsa banjir di situ.

"Tetapi, esok kita jangka dah boleh bersihkan PPS berkenaan dan semua pelajar boleh memulakan sesi persekolahan seperti jadual asal. Terima kasih kepada semua agensi yang membantu dalam operasi pembersihan sekolah di semua tempat," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 31 Disember 2023 @ 12:56 PM