GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Zatul Iffah Zolkiply


Kuala Terengganu: Hanya Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Padang Pulut di Dungun masih dijadikan pusat pemindahan sementara (PPS) akibat banjir gelombang keempat yang bermula Selasa lalu.

Pengarah Jabatan Pendidikan Terengganu (JPNT), Jelani Sulong berkata, seramai 34 mangsa banjir berada di di sekolah berkenaan dan bangunan yang dijadikan PPS itu juga terletak agak jauh dari dewan peperiksaan sekolah berkenaan.

Beliau berkata, ujian mendengar Bahasa Melayu dan Bahasa Inggeris untuk Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) di Terengganu berjalan lancar tanpa sebarang halangan pagi ini.

"Jabatan akan terus memantau situasi semasa banjir dan berharap keadaan akan kembali pulih seperti sedia kala," katanya.

Jelani berkata, JPNT sudah mengarahkan semua Pejabat Pendidikan Daerah yang terbabit bersiap siaga untuk menggerakkan Ops Payung sekiranya banjir melanda sepanjang SPM berlangsung.

Katanya, Ops Payung akan digerakkan sekiranya berlaku tiga situasi banjir hasil perbincangan yang diadakan dengan pelbagai jabatan dan agensi sebelum ini.

Mengikut takwim peperiksaan yang dikeluarkan Kementerian Pendidikan Malaysia, SPM bermula dengan Ujian Amali Sains pada 5 hingga 7 Disember 2023 diikuti ujian bertutur Bahasa Melayu (8 hingga 11 Januari 2024) dan ujian bertutur Bahasa Inggeris (17 hingga 23 Januari 2024).

Ujian bertulis SPM pula akan bermula esok dengan peperiksaan terakhir ialah pada 7 Mac depan.

Untuk rekod, seramai 18,492 calon SPM berdaftar dengan JPNT untuk menduduki peperiksaan itu di 176 pusat peperiksaan seluruh Terengganu tahun ini.

Daripada jumlah itu, seramai 3,420 calon di daerah Kuala Terengganu diikuti 3,005 calon di Besut, Kemaman (2,827 calon), Kuala Nerus (2,615) dan Dungun (2,284 calon).

Selain itu, seramai 1,742 calon di Marang diikuti 1,469 calon di Hulu Terengganu dan 1,130 calon di Setiu.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 29 January 2024 @ 2:02 PM