LIMPAHAN Sungai Golok menjejaskan perkampungan di sekitarnya termasuk Kampung Lubok Gong, Rantau Panjang. FOTO Nik Abdullah Nik Omar.
LIMPAHAN Sungai Golok menjejaskan perkampungan di sekitarnya termasuk Kampung Lubok Gong, Rantau Panjang. FOTO Nik Abdullah Nik Omar.
Hidayatidayu Razali


Kota Bharu: Machang menjadi daerah terbaharu dilanda banjir di Kelantan, menyebabkan jumlah mangsa terus meningkat kepada 5,155 orang sehingga 4 petang ini.

Peningkatan mendadak itu berikutan limpahan Sungai Golok dekat Rantau Panjang yang menyebabkan kampung berhampiran sungai naik air.

Portal Info Bencana Banjir Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) melaporkan, kesemua mangsa daripada 1,628 keluarga kini berlindung di 38 pusat pemindahan sementara (PPS) termasuk di Pasir Mas, Tanah Merah, Jeli, Gua Musang dan Kuala Krai.

Jumlah mangsa banjir di Pasir Mas kini 3,273 orang di 10 PPS, berbanding 918 orang pagi tadi.

Tanah Merah yang membuka 16 PPS pula mempunyai 1,192 mangsa, diikuti Jeli (255 orang di dua PPS), Kuala Krai (192 orang di lima PPS), Gua Musang (162 orang di empat PPS) dan Machang 81 orang di PPS Sekolah Kebangsaan (SK) Pulai Chondong.

Empat sungai utama masih melepasi paras bahaya iaitu Sungai Kelantan di Kuala Besar, Kota Bharu iaitu 2.57 meter (m), Sungai Golok di Rantau Panjang (10.71m), Sungai Golok di Kampung Jenob, Tanah Merah (25.34m) dan Sungai Kelantan di Kuala Krai (25.66m).

Lima sungai lepasi paras amaran dan enam sungai melepasi paras waspada.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 25 Disember 2023 @ 4:30 PM