CIRI mewah dan lasak Touareg.
CIRI mewah dan lasak Touareg.
Lizam Ridzuan


Ia adalah model kenderaan utiliti sukan (SUV) pertama untuk Volkswagen yang dilancarkan pada 2002 dan untuk pasaran Malaysia kali terakhir ia pernah ditawarkan di negara ini sekitar lebih 10 tahun lalu.

Kini kembali diperkenalkan pada tahun ini menerusi generasi ketiga dan ia adalah model pemasangan tempatan (CKD) yang dipasang di Pekan, Pehang serta yang pertama di luar Eropah (Slovakia) untuk model ini.

Untuk pengalaman pemanduan dan melihat dengan lebih dekat model ini, Vroom berpeluang menyertai aktiviti pandu uji media Volkswagen Touareg R-Line Serba Baharu ke Kuantan Pahang baru-baru ini anjuran Volkswagen Passenger Cars Malaysia.

Konvoi enam Touareg dengan setiap satu disertai tiga media memulakan pemanduan dari Damansara menuju Lebuhraya Karak untuk ke Kuantan, Pahang.

SESUAI buat yang mahu kelainan.
SESUAI buat yang mahu kelainan.

Sepanjang laluan di lebuh raya sudah pasti perkara pertama yang diuji prestasi enjinnya dengan 3.0 liter V6 TSI yang menghemburkan 340PS dan tork 450Nm dengan transmisi lapan kelajuan automatik dan tiga mod pemanduan.

Ternyata kuasanya tidak terasa penulis sudah berada pada kelajuan tinggi menerusi sistem IQ.Drive dan 4Motion yang mengalirkan tenaga dengan baik untuk setiap roda.

Malah, penulis boleh memilih menggunakan mod sport untuk lebih kawalan prestasi selain eco, comfort, normal, individual, offroad dan snow.

Sistem suspensi udara kawalan dan larasan secara elektronik itu bergantung kepada kelajuan dengan ketiggian maksimum sehingga 70 milimeter (mm) dan 40mm lebih rendah pada kelajuan tinggi dan ketika pemanduan yang membelah selekoh di Karak ke Bentong ia juga menawarkan kawalan lebih baik.

SUV ini juga mampu mengharungi air pada kedalaman sehingga 550mm menjadikan ia juga boleh melalui kawasan yang lasak.

Itu dibuktikan setibanya di kawasan sekitar

Kuantan, kami dibawa melalui ke kawasan hutan yang menghidangkan laluan tidak berturap (off-road) bagi melihatkan keupayaan SUV mewah ini dan terdapat ciri-ciri seperti Kawalan Penurunan Bukit dapat digunakan ketika cerun dan laluan merentasi sungai kecil, ia berfungsi baik melepasinya.

Penulis juga berpeluang untuk duduk pada bahagian belakang dan ternyata ruang unjuran kaki yang selesa selain sesuai untuk tiga penumpang di belakang duduk dengan selesa termasuk ketika melalui laluan lasak itu.

KABIN selesa.
KABIN selesa.

Menyentuh mengenai storan, tiga media dengan setiap seorang minimum membawa dua beg membolehkan ia diletakkan pada bahagian kargo dengan baik menerusi ruang but yang luas sehingga 810 liter.

Setibanya di sekitar Kuantan kami dibawa ke tapak mini perkhemahan di tepi Sungai Lembing dan sebelum itu makan tengah hari di sebuah kafe unik yang digelar Warong Tersorok.

Penulis juga menggemari rekaan dalaman terutama pada papan pemuka pada kedudukan yang menghadap kepada pemandu umpama kokpit pesawat bukan sahaja memudahkan capaian, malah membuatkan lebih fokus kepada pemanduan.

Ciri lain ruang dalaman dengan kokpit digital TFT bersaiz 12.3 inci dan sistem infotainmen bersaiz 15 inci Discover Pro Max yang memaparkan pelbagai maklumat serta keterhubungan Apple CarPlay dan Android Auto menambah kemudahan kepada pemandu.

Bantuan Parkir dan Pemandangan sekitar termasuk empat kemera memudahkan ia melalui jalan sempit atau untuk bagi tujuan parkir kenderaan mudah dilakukan.

Melihat kepada rekaan luaran ia tampil gaya continental yang ringkas, namun elegan menerusi rekaan bahagian hadapan pada gril dengan ciri lampu IQ-Light HD matrik dengan ciri merentasi bahagian gril menambah gaya sofistikated.

Ciri lain dengan padanan rim aloi 20 inci Braga gaya Dark Graphite Diamond serta pintu belakang dengan pencahayaan LED yang merentasi bahagian pintu dan logo VW menyerlahkan gaya unik buat jenama ini.

Secara keseluruhan model Touareg adalah SUV buat mereka yang berkemampuan, tapi mahukan sebuah kenderaan yang berbeza daripada jenama Eropah lain untuk tampil kelaianan.

Rekaan elegan serta kemasan ruang dalaman yang berkualiti tinggi dan selesa adalah sesuai buat mereka sama ada bagi tujuan formal atau ingin berekreasi pada hujung minggu.

Menerusi satu isian penuh 90 liter ia mampu menjangkau lebih 600 kilometer (km) dengan purata penggunaan bahan api sekitar 9.5 liter untuk setiap 100km pada pandangan penulis tidak terlalu 'rabak' daripada segi petrol selepas kami 'membelasah'nya pada pelbagai kelajuan.

Sistem bunyi Dynaudio Consequence dengan 13 pembesar suara menawarkan akustik berkualiti tinggi, lampu suasana 30 tetapan, empat zon penyaman udara, pengecas tanpa wayar dan port pengecas USB-C antara kemudahan tambah tersedia.

Ciri keselamatan terbaik dengan Kawalan

Pelayaran Adaptif dengan Stop & Go, Bantuan Trafik Melintas Belakang, Sistem Pemantauan Tekanan Tayar, Night Vision, Bantuan Brek Hadapan Kecemasan Autonomi dan banyak lagi.

Untuk pasaran Malaysia ia hanya ditawarkan menerusi satu varian R-Line ditawarkan pada harga RM469,990 (atas jalan tanpa insurans).

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 9 Jun 2024 @ 6:09 AM