Hidayatidayu Razali


Kota Bharu: Lapan daerah di Kelantan dilanda banjir yang menyaksikan jumlah mangsa meningkat kepada 17,281 orang sehingga 10 malam ini berbanding 15,216 orang petang tadi.

Peningkatan mangsa dengan mendadak ini berikutan jumlah penduduk yang berpindah ke pusat pemindahan sementara (PPS) di semua daerah meningkat.

Kesemua mangsa daripada 5,431 keluarga berlindung di 86 PPS iaitu di Pasir Mas, Kuala Krai, Tanah Merah, Machang, Pasir Puteh, Kota Bharu, Gua Musang dan Jeli.

ANGGOTA Angkatan Tentera Malaysia (ATM) membawa keluar penduduk Rantau Panjang yang terjejas berikutan banjir untuk berpindah ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Sekolah Kebangsaan (SK) Gual Tinggi. FOTO Bernama
ANGGOTA Angkatan Tentera Malaysia (ATM) membawa keluar penduduk Rantau Panjang yang terjejas berikutan banjir untuk berpindah ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Sekolah Kebangsaan (SK) Gual Tinggi. FOTO Bernama

Portal Info Bencana Banjir Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) merekodkan, jumlah mangsa di Pasir Mas meningkat kepada 12,791 orang berada di 33 PPS.

Mangsa banjir di Kuala Krai turun sedikit kepada 2,838 orang berada di 31 PPS, diikuti Tanah Merah (1,216 orang di 13 PPS), Machang (204 orang di empat PPS), Jeli (82 orang di satu PPS), Gua Musang (69 orang di dua PPS), Kota Bharu (42 orang di satu PPS) dan Pasir Puteh (39 orang di satu PPS).

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 26 Disember 2023 @ 10:48 PM