PENULIS berada di Bukit Sibea-bae untuk melihat pemandangan menarik dari kaca mata burung Danau Toba.
PENULIS berada di Bukit Sibea-bae untuk melihat pemandangan menarik dari kaca mata burung Danau Toba.
Hafiz Ithnin


KABUS pagi menyambut pemandangan pagi penulis sebaik sahaja menyelak daun tingkap di bilik hotel. Panorama berkabus bersatu dengan pemandangan gunung dan bukit serta tasik cukup mengasyikkan bagi menyapa ucapan selamat pagi.

Penulis tidak menyangka perjalanan 'gelap' sepanjang kira-kira lima jam dari Lapangan Terbang Kuala Namu di Medan, Indonesia menuju Ajibata pada paginya bakal dihidangkan dengan pemandangan sebegitu rupa.

Sebenarnya kunjungan penulis ke Medan bukan untuk ke Ajibata, tetapi ia hanya persinggahan sebentar sebelum menuju Pulau Samosir di Danau Toba. Tujuannya bagi mengikuti acara larian denai di Danau Toba, Trail of The Kings (TOTK) Zero Edition.

Acara larian itu menjadi sesuatu yang dinantikan ramai peminat aktiviti larian denai kerana trek laluannya dikatakan mempunyai pemandangan yang sungguh indah bagi mereka yang menyertainya. Maka penulis juga tidak sabar sebenarnya untuk merasai pengalaman itu.

Seawal jam 7 pagi penulis bersedia dari Ajibata untuk menuju Pulau Samosir dengan menaiki feri yang hanya mengambil masa kira-kira kurang dua jam perjalanan.

PEMANDANGAN nelayan berlatarbelakangkan kehijauan di Danau Toba.
PEMANDANGAN nelayan berlatarbelakangkan kehijauan di Danau Toba.

Feri yang dinaiki penulis sebenarnya bukan sahaja mengangkut penumpang, malah membawa bekalan makanan dari tanah besar iaitu dari Ajibata ke Pulau Samosir. Menariknya, ketika berada dalam feri itu, hanya penulis dan seorang pelancong dari Jakarta yang menjadi penumpang, selebihnya ada kira-kira dua atau tiga penumpang wanita yang sebenarnya peniaga atau pekerja yang membawa bekalan makanan ke pulau itu sibuk melakukan kerja membungkus tahu.

Menariknya, jurupandu feri berkenaan menurunkan penulis dan pelancong dari Jakarta itu di kawasan yang begitu berhampiran dengan tempat penginapan kami. Malah, ketika tiba di jeti Tuk Tuk sudah ada kakitangan inap desa yang sedia terus membawa ke lokasi yang ingin dituju.

RAKAN penulis bersama peserta pertandingan ratu cantik (kanan) yang mengenakan busana tradisional kontemporari.
RAKAN penulis bersama peserta pertandingan ratu cantik (kanan) yang mengenakan busana tradisional kontemporari.

Sebaik sahaja tiba di inap desa, penulis bertemu rakan-rakan pelari yang tiba lebih awal dan mereka bercadang pada hari itu untuk menuju kawasan pekan di Pulau Samosir sebagai destinasi utama bermalam kerana lebih dekat dengan kawasan permulaan acara larian.

Ketika berada di pekan di Pulau Samosir, keadaannya lebih sibuk dengan kenderaan dan aktiviti masyarakat setempat. Namun, pemandangannya masih menarik kerana di pemandangan gunung menghijau dan Danau Toba menjadi halwa pemandangan.

AIR tasik yang jernih sehingga mampu melihat ikan di dalamnya.
AIR tasik yang jernih sehingga mampu melihat ikan di dalamnya.

Sebenarnya, jika anda berkunjung ke Danau Toba, masyarakat utama yang menghuni di sini adalah kaum Batak. Pada pandangan penulis masyarakat setempat masih mengekalkan tradisi mahal yang diwarisi antaranya seni bina rumah yang begitu mudah untuk dilihat di mana-mana.

Sebelum acara larian bermula, penulis bersama rakan-rakan pelari dari Malaysia, kami sempat mengunjungi beberapa lokasi tumpuan pelancong antaranya Air Terjun Efrata yang boleh dilihat dari jauh di beberapa lokasi di Pulau Samosir kerana mempunyai ketinggian sekitar 20 meter.

PENULIS berlatarbelakangkan pemandangan memukau di trek larian.
PENULIS berlatarbelakangkan pemandangan memukau di trek larian.

Selain itu, penulis juga sempat mengunjung salah satu lokasi pelancongan yang menjadi tumpuan iaitu di Bukit Sibea-bea iaitu terdapatnya patung Jesus yang dikatakan paling terbesar di dunia. Di sini, majoriti masyarakatnya adalah beragama Kristian.

Di Bukit Sibea-bea, pengunjung boleh melihat pemandangan indah dari mata burung kawasan tasik dan bukit yang mengelilinginya. Apatah lagi, jika keadaan sekeliling memihak kepada pengunjung pasti lebih menarik. Cumanya ketika penulis di sana keadaan hujan dan berkabus tebal. Pemandangannya sedikit terhad.

AIR terjun di Efrata yang menjadi tumpuan kunjungan pelancong.
AIR terjun di Efrata yang menjadi tumpuan kunjungan pelancong.

Selain melihat panorama menarik, seusai melakukan pendaftaran kami melihat ramai masyarakat setempat memakai pakaian trasional di pendaftaran. Rupa-rupanya ada acara pencarian ratu cantik yang diadakan dengan lokasi pendaftaran itu.

Melihat kepada busana yang disarungkan peserta yang mungkin sudah dimoden serba sedikit untuk pengayaan pertandingan itu, membuktikan masyarakat setempat masih mempunyai jiwa yang menebal dalam mengangkat pakaian tradisional mereka.

Ketika penulis memulakan larian pula, sememangnya apa yang dikatakan penganjur tidak boleh dinafikan kerana pemandangan yang disajikan cukup memukau.

RAKAN penulis merakam memori di kawasan tanah tinggi iaitu trek larian yang dilalui kami.
RAKAN penulis merakam memori di kawasan tanah tinggi iaitu trek larian yang dilalui kami.

Boleh dikatakan setiap inci ketika berada di trek larian, kami disajikan dengan pemandangan yang menarik untuk merakam gambar. Hanya yang menjadi halangan pastinya perlu mengejar masa yang ditetapkan dalam perlumbaan.

Selain melihat latar belakang tanah tinggi yang penuh kehijauan, laluan larian penulis juga melalui kawasan padi dan boleh melihat aktiviti masyarakat setempat yang sedang sibuk mengusahakan tanaman itu. Di sini, ekonomi utama masyarakat setempat difahamkan adalah dalam bidang pertanian.

ANTARA bangunan tradisional yang masih utuh di pekan di Samosir.
ANTARA bangunan tradisional yang masih utuh di pekan di Samosir.

Masyarakat setempat baik dari kanak-kanak sehingga golongan sudah berusia menjadi penyokong setia untuk setiap peserta yang melalui kawasan perkampungan mereka yang masih mempunyai rumah tradisional Batak yang amat unik.

Bagi penulis, menyertai acara larian itu bukan sekadar memenuhi impian untuk minat berlari denai, tetapi dapat juga menyelam keindahan panorama di bumi Samosir dan masyarakat Batak di sana yang cukup murah dengan senyuman menyantuni pelancong.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 9 Jun 2024 @ 6:20 AM