BERNAMA

Melaka: Lebih 2,300 peserta pelbagai lapisan masyarakat berpakaian tradisional dan kostum pelbagai watak menjayakan acara, Larian Budaya Duyong Kita membabitkan laluan sejauh 3.2 kilometer di sini, hari ini.

Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Duyong Datuk Mohd Noor Helmy Abd Halem berkata, program anjuran bersama Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (Motac) itu turut membabitkan peserta paling muda berusia lapan bulan hingga 80 tahun.

"Acara bermula 7.30 pagi ini mendapat sambutan menggalakkan bukan hanya membabitkan peserta dalam kawasan Duyong sahaja, malah ada dalam kalangan mereka yang datang dari sekitar negeri ini selain pelancong dari luar semata-mata untuk menyertai larian ini.

"Pada acara ini terdapat empat tempat pemeriksaan utama yang mengetengahkan empat budaya berbilang kaum dengan hasrat kita untuk memupuk semangat perpaduan dan keharmonian masyarakat yang sedia terjalin seiring dengan objektif Malaysia Madani di bawah Kerajaan Perpaduan," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Terdahulu beliau yang mengenakan kostum watak adiwira terkenal Superman dan berkain pelikat turut menyertai larian itu dan majlis pelepasan peserta disempurnakan Exco Pelancongan Warisan, Seni dan Budaya negeri Datuk Abdul Razak Abdul Rahman dan turut dihadiri Datuk Bandar Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) Datuk Shadan Othman.

Mengulas lanjut Mohd Noor Helmy berkata, penganjuran larian itu juga bertujuan menghangatkan suasana sempena majlis perasmian sambutan Tahun Melawat Melaka 2024 (TMM2024) pada 31 Disember ini dan pihaknya berhasrat meneruskannya sebagai acara tahunan bagi memperbanyak lagi aktiviti bersama masyarakat dalam kawasan Duyong.

Katanya, pelbagai hadiah cabutan bertuah yang menarik turut ditawarkan kepada peserta seperti seekor kambing, motosikal, basikal, peralatan elektrik dan lain-lain yang disediakan penganjur selain ditaja oleh individu dan syarikat.

Sementara itu, seorang peserta Laila Kamil, 69, berkata, usia bukan penghalang untuk dirinya menyertai larian itu kerana program terbabit dilihat sangat menarik selain beliau juga aktif menyertai program Persatuan Joging Melaka Cergas pada setiap minggu.

"Hari ini saya juga membawa tiga cucu menyertai larian ini dan ia satu program yang bagus kerana selain membudayakan amalan gaya hidup sihat, ia dapat mengeratkan silaturahim," katanya.

Seorang lagi peserta, P Puspaalatha, 31, berkata, beliau mengetahui program itu melalui media sosial dan berasa seronok serta teruja menyertai program yang jarang diadakan di kawasan tempat tinggalnya sebelum ini selain membawa ibu dan ayahnya turut serta.

"Program seumpama ini dapat mengeratkan lagi masyarakat khususnya dalam kawasan Duyong dan harapan saya acara ini dapat diteruskan dengan mengangkat tema berindentitikan Malaysia yang kaya dengan budaya dan warisan pada masa depan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 24 Disember 2023 @ 6:54 PM