PERMULAAN acara sebelum larian bermula.
PERMULAAN acara sebelum larian bermula.
Siti Zarinah Sahib

Seronok dan teruja! Inilah yang dirasai apabila berpeluang berlari bersama watak animasi dengan kostum tersendiri dan peserta juga bebas berpakaian mengikut watak animasi popular kesukaan mereka.

Menggabungkan elemen keseronokan, persahabatan, keluarga dan gaya hidup sihat, Setia Haruman menganjurkan Cyberjaya Kre8tif! Larian Kostum Ceria 2018 buat kali kedua.

Menariknya larian ini membabitkan maskot daripada pelbagai watak animasi seperti Boboiboy, Ejen Ali, Didi & Friends, Omar & Hana, Cici Chacha, Chuck Chicken, Hogie The Globhopper serta Cam & Leon yang menjadi antara program kartun kegemaran kanak-kanak di Malaysia.

Bagi menjadikan acara ini lebih menarik, semua maskot memulakan larian bersama peserta. Kegembiraan jelas terbayang pada wajah kanak-kanak yang menyertainya kerana dapat melihat watak kesukaan mereka dengan lebih dekat sambil bersalaman dan bergambar bersama.

Selain larian, syarikat animasi seperti Animonsta, Digital Durian, Giggle Garage, Chichi Chacha dan Animasia turut menyediakan pelbagai aktiviti dengan hadiah menarik.

Bertujuan membantu meningkatkan agenda animasi tempatan, Cyberjaya Kre8tif! Larian Kostum Ceria 2018 diadakan pada Hari Bebas Kereta yang juga salah satu inisiatif Majlis Perbandaran Sepang, Cyberjaya.

Ia selaras usaha Setia Haruman untuk menyumbang kepada aktiviti mesra alam dengan menjalankan acara ini pada Hari Bebas Kereta, ia bukan saja membantu untuk memastikan keselamatan pelari, tetapi juga mengurangkan pencemaran udara.

GEMBIRA dapat bergambar bersama maskot kesukaan mereka.
GEMBIRA dapat bergambar bersama maskot kesukaan mereka.

Kerjasama sebahagian besar watak animasi tempatan itu berjaya menonjolkan potensi bagi mengembangkan dan menyampaikan teknologi dalam animasi.

Acara ini juga dijalankan bagi mewujudkan kesedaran kepentingan kesihatan dan kecergasan selain menarik minat komuniti untuk mengetahui lebih lanjut mengenai kisah kejayaan animasi ini serta permulaan menjadi lebih kreatif.

Jenama Kre8tif! di bawah Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) adalah payung untuk meraikan kreativiti dalam semua aspek dari pelbagai industri di Cyberjaya seperti animasi, filem, muzik, kesusasteraan, seni, teknologi dan fesyen. Inisiatif dari MDEC ini juga bertujuan mencetuskan gaya utama bagi sektor kreatif.

Menurut Ketua Pembangunan Perniagaan dan Komunikasi MDEC Ahmad Soalahuddin, Setia Haruman sebagai pemaju induk bandar Cyberjaya sering menyertai aktiviti kemasyarakatan di Cyberjaya. Sokongan dari MDEC itu menjadikan bandar ini lebih meriah suatu hari nanti.

“Setia Haruman menjalinkan kerjasama dengan MDEC dalam usaha meningkatkan kedudukan Cyberjaya sebagai hab Animasi Malaysia dan menjadikan Cyberjaya bandar terbaik untuk berkerja, bermastautin, belajar dan beriadah,” katanya.

PEMENANG turut teruja bergambar dengan maskot comel.
PEMENANG turut teruja bergambar dengan maskot comel.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 21 Ogos 2018 @ 2:55 PM