Datuk Seri Hazani Ghazali
Datuk Seri Hazani Ghazali
Hafidzul Hilmi Mohd Noor


Kuala Lumpur: Operasi besar-besaran menggempur pendatang asing tanpa izin (Pati) akan terus dilaksanakan di seluruh negara.

Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (KDNKA) Bukit Aman Datuk Seri Hazani Ghazali berkata, operasi ini akan dijalankan secara bersepadu dengan kerjasama agensi penguat kuasa lain seperti Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) serta pihak berkuasa tempatan (PBT).

"Kita akan teruskan operasi bersepadu dengan lain-lain agensi. Ada beberapa lokasi sudah dikenal pasti polis sebagai 'hotspot' warga asing di seluruh negara.

"Kita juga giat memburu tekong, dalang dan 'ali baba' yang terbabit dalam isu ini," katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Bagaimanapun, beliau tidak mendedahkan lokasi terbabit atas faktor keselamatan dan ketenteraman orang awam.

Hazani berkata, pihaknya tidak berkompromi dengan sebarang isu membabitkan warga asing.

"Polis menerima aduan daripada orang awam mengenai lambakan Pati. Operasi ini juga sebagai usaha membanteras aktiviti jenayah," katanya.

Semalam, seramai 1,101 Pati termasuk dua kanak-kanak ditahan selepas lokasi tumpuan warga asing dikenali 'Mini Dhaka' di Jalan Silang di sini, dikepung dan digempur Pasukan Gerakan Am (PGA).

Operasi yang bermula 11 pagi itu memeriksa sebanyak 60 premis di lokasi berkenaan serta di sekitar Kompleks Kota Raya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 22 Disember 2023 @ 5:00 PM