Amir Abd Hamid


Kuala Lumpur: Lambakan warga asing menghiasi pemandangan ibu negara terutama pada hujung minggu pada masa lalu, kini didapati sudah tidak ketara lagi dipercayai susulan beberapa operasi bersepadu secara berterusan dilakukan pihak berkuasa sejak penghujung tahun lalu.

Operasi pemutihan dilaksanakan termasuk inisiatif menghantar hampir satu batalion Pasukan Gerakan Am (PGA) Polis Diraja Malaysia (PDRM) menggempur koloni warga asing di Jalan Silang di sini, pada 21 Disember lalu jelas menampakkan keberkesanan.

Tinjauan Harian Metro di beberapa lokasi di ibu negara termasuk di Jalan Silang dan sekitar Lebuh Ampang mendapati semakin kurang kelibat warga asing bersesak dan bersidai seperti kebiasaannya hingga warga tempatan menganggap bagaikan berada di negara asing serta lokasi terbabit digelar 'Mini Dhaka'.

Begitu juga tinjauan di sekitar Bukit Bintang di sini, apabila didapati kawasan perniagaan strategik itu kurang dengan penjaja warga asing di tepi jalan walaupun ada peniaga buah yang dipercayai warga asing segera menutup operasinya apabila menyedari jurukamera merakam aktiviti perniagaannya.

PENIAGA buah warga asing dilihat masih melakukan aktiviti menjaja di sekitar kawasan Bukit Bintang, Kuala Lumpur. FOTO Mohamad Shahril Badri Saali
PENIAGA buah warga asing dilihat masih melakukan aktiviti menjaja di sekitar kawasan Bukit Bintang, Kuala Lumpur. FOTO Mohamad Shahril Badri Saali

Bagaimanapun, dikesan dua wanita dewasa yang membawa anak kecil dianggarkan berusia lingkungan lima tahun dipercayai etnik Rohingya mengemis di lokasi terbabit.

Tinjauan di Chinatown, Petaling Street pula mendapati lebih ramai jurujual di pusat tumpuan pelancong itu adalah dalam kalangan warga tempatan berbanding sebelum ini yang dimonopoli warga asing terutamanya dari Bangladesh.

Sejak kebelakangan ini, kerajaan menerusi pelbagai agensi termasuk PDRM, Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) dan pihak berkuasa tempatan seperti Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) semakin giat melakukan operasi terhadap pendatang asing tanpa izin (Pati) dan warga asing yang sesuka hati meniaga tanpa permit di seluruh negara.

Pada 21 Disember lalu, seramai 1,101 Pati termasuk dua kanak-kanak ditahan selepas lokasi tumpuan warga asing dikenali 'Mini Dhaka' di Jalan Silang ibu kota dikepung dan digempur PGA.

Khamis lalu, satu lagi koloni Pati ala 'Mini Dhaka' digempur dalam serbuan Op Khas Aman di kawasan pangsapuri di Jalan Aman Perdana di Klang, Selangor.

Semalam pula, seramai 281 Pati ditahan menerusi Op Aman Khas di bandar yang 'dijajah' warga asing di Pekan Pelabuhan Klang.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 4 Februari 2024 @ 2:36 PM