Hafidzul Hilmi Mohd Noor

Kuala Lumpur: Polis mengesahkan seramai 1,101 pendatang asing tanpa izin (Pati) ditahan dalam operasi bersepadu di 'mini Dhaka' di Jalan Sailang di sini hari ini.

Operasi bermula 11 pagi itu disertai 1,138 pegawai dan anggota dari Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (KDNKA) membabitkan Bridged Tengah Pasukan Gerakan Am (PGA), Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU) dan Unit Anjing Pengesan (K9).

Turut terbabit beberapa agensi antaranya Kementerian Perdagangan Dalam Negeri (KPDN), Kastam Diraja Malaysia, Jabatan Imigresen (JIM) dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Allaudeen Abdul Majid berkata, dalam operasi berkenaan, pihaknya menyerbu sebanyak 60 premis di sekitar jalan terbabit.

Menurutnya, serbuan itu hasil risikan dan maklumat berkaitan kebanjiran warga asing serta aktiviti jenayah di lokasi terbabit.

"Antara yang ditahan mereka yang bekerja di premis diserbu selain warga asing berada berhampiran lokasi terbabit.

"Seramai 1,101 warga asing yang gagal mengemukakan dokumen pengenalan diri yang sah telah ditahan. Turut diberkas dua kanak-kanak," katanya pada sidang akhbar di Pusat Latihan Polis (Pulapol) Kuala Lumpur, di sini, hari ini.

Dalam pada itu, Allaudeen berkata, pihaknya turut merampas pelbagai barangan kontraban dianggarkan bernilai RM104,530.

"Antara dirampas sebanyak 100 karton rokok bernilai RM22,000, 80 karton arak (RM48,000) dan ubatan-ubatan tanpa kelulusan Kementerian Kesihatan (RM34,530).

"Barang rampasan dibuat mengikut Seksyen 135 (1) (D) Akta Kastam 1967 dan Akta Ubat 1956," katanya.

ANTARA Pati yang ditahan di Jalan Sailang, Kuala Lumpur hari ini. FOTO NSTP
ANTARA Pati yang ditahan di Jalan Sailang, Kuala Lumpur hari ini. FOTO NSTP

Beliau berkata, pihaknya turut menyerahkan kepada Dewan Bandaraya Kuala Lumpur untuk mengambil tindakan sewajarnya ke atas premis yang menyewakan bangunan kepada Pati jika wujud pelanggaran dari segi undang-undang.

Menurutnya, semua tangkapan akan diserahkan kepada Imigresen untuk tindakan lanjut mengikut Seksyen 6 (3); Seksyen 6 (1) (c); Seksyen 15 (4); Seksyen 15 (1) (c) Akta Imigresen 1959 dan Peraturan 39 (b) Peraturan Imigresen 1963.

Katanya, pihaknya serius terhadap isu kebanjiran warga asing selain membanteras ketirisan barang bersubsidi.

"Kita juga tidak menolak kemungkinan akan membuat operasi sebegini di tempat tumpuan warga asing.

"Justeru, orang ramai diminta menyalurkan maklumat berhubung kegiatan mencurigakan atau kehadiran Pati di kawasan masing-masing," katanya.

Sementara itu, wartawan yang mengikuti operasi mendapati warga asing kebanyakannya terdiri daripada warga Bangladesh, Nepal dan Myanmar itu gagal melarikan diri selepas kepungan mengejut dibuat.

Pemeriksaan di salah satu premis mendapati warga asing yang menjalankan perniagaan agensi pelancongan turut menawarkan khidmat klinik persendirian.

Turut ditemukan pelbagai jenis ubatan dipercayai dari Bangladesh tanpa kelulusan Kementerian Kesihatan. Bagaimanapun ketika pemeriksaan dijalankan, premis terbabit tidak berpenghuni.

Malah, serbuan turut menemui premis dijadikan bilik sewa dalam keadaan berselerak, kotor dan jijik dipercayai dihuni warga asing.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 21 Disember 2023 @ 6:53 PM