GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Mohd Roji Kawi


Kuching: Subvarian Omicron Covid-19, HK.3 dan JN.1 kini dikesan di beberapa bahagian di Sarawak.

Pengarah Institut Kesihatan dan Perubatan Komuniti (IHCM) Universiti Malaysia Sarawak (Unimas) Prof Dr David Perera berkata, pihaknya mengesan kehadiran subvarian Omicron itu selepas meneliti 61 sampel yang diperoleh sejak November lalu.

Sehubungan itu, katanya, orang ramai dinasihatkan supaya mengambil langkah berjaga-jaga terutama pada musim perayaan yang akan datang.

"Subvarian Omicron dominan yang dikesan ialah HK.3 iaitu 26 peratus dan JN.1 sebanyak 49 peratus.

"Sampel itu dikenal pasti terutamanya di kawasan Kuching dan Samarahan serta beberapa kes dari Sibu," katanya

Beliau mendedahkan perkara itu di dalam laporan pengawasan kes positif Covid-19 terbaru kepada Timbalan Premier yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak Datuk Amar Douglas Uggah Embas di sini, hari ini.

Bagaimanapun katanya, kehadiran HK.1 dan JN.1 di kawasan lain di negeri itu masih tidak menentu kerana data yang terhad.

"Subvarian JN.1, yang pada mulanya direkodkan di Amerika Syarikat (AS) pada September tahun ini merebak dengan pantas dan kini menjadi satu pertiga daripada semua kes positif di negara itu.

"JN.1 meningkatkan kebolehjangkitan dan menurunkan imunisasi dengan pelbagai mutasi baharu, telah membawa kepada lonjakan kes Covid-19 di seluruh dunia," katanya.

Justeru katanya, dengan pengesanan subvarian Omicron itu di negeri ini, orang ramai dinasihatkan supaya menyedari peningkatan risiko kadar jangkitan.

"Sila ambil semua langkah berjaga-jaga yang perlu untuk mengelak jangkitan dan mencegah penularan, terutamanya memandangkan musim perayaan akan datang.

"Ini penting untuk melindungi semua dan khususnya, individu yang berisiko," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 21 Disember 2023 @ 3:40 PM