GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Melvin Joni


Kuching: Masyarakat di Sarawak perlu berwaspada ketika menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) susulan penularan XXB, sub-varian kepada varian Omicron di negara ini.

Timbalan Premier Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata, setiap individu harus mengambil langkah berjaga-jaga bagi mengelak penularan di negeri ini.

"Terutama dalam PRU-15 ini, anda mesti mengambil langkah berjaga-jaga sebaik mungkin.

"Sila pakai pelitup muka apabila berada dalam khalayak ramai," katanya ketika ditemui pemberita selepas merasmikan Persidangan dan Pameran Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Borneo (BOSH) di sini, hari ini.

Uggah yang juga pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak berkata, langkah berjaga-jaga perlu kerana Sarawak masih merekodkan kes Covid-19 setiap hari.

"Hari ini kita mempunyai 48 kes. Ia (Covid-19) masih ada, jadi sila ambil langkah berjaga-jaga.

"Dengan adanya sub-varian baharu yang memang kita tidak tahu tahapnya, lebih penting untuk kita terus berwaspada," katanya.

Bagaimanapun, katanya berdasarkan data Institut Kesihatan dan Perubatan Komuniti (IHCM) setakat September lalu, Sarawak masih bebas daripada XXB.

Namun, beliau memberi jaminan pengawasan masih diteruskan oleh Institut Kesihatan dan Perubatan Komuniti (IHCM) di Universiti Malaysia Sarawak (Unimas).

Menurutnya Omicron muncul sebagai varian Covid-19 paling dominan yang menular di Sarawak.

"Ia menyumbang kira-kira 97 peratus daripada semua kes positif yang dikesan setakat September," katanya.

Uggah berkata, berdasarkan laporan IHCM, sebanyak 463 sampel yang diperoleh daripada kes positif di seluruh Sarawak dari 14 Julai hingga 27 September lalu dikesan sebagai Omicron.

Semalam, Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin berkata Malaysia kini mengalami gelombang kecil kes Covid-19 berikutan penemuan sub-varian Omicron XBB.

Beliau dipetik berkata, berdasarkan data harian, jumlah kes baharu Covid-19 meningkat sebanyak 16.5 peratus, daripada 14,525 kes pada Minggu Epidemiologi (EW) 42 kepada 16,917 kes dalam EW 43 (23 hingga 29 Oktober).

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 1 November 2022 @ 5:18 PM