ORANG ramai memakai penutup muka ketika membeli-belah di kawasan tumpuan di Seoul di kala Korea Selatan mencatatkan jumlah kes Covid-19 yang tinggi.  FOTO Reuters
ORANG ramai memakai penutup muka ketika membeli-belah di kawasan tumpuan di Seoul di kala Korea Selatan mencatatkan jumlah kes Covid-19 yang tinggi. FOTO Reuters
Syarifah Dayana Syed Bakri

Satu ketika dulu apabila laporan kes jangkitan harian Covid-19 di Malaysia mencapai angka 10,000, seluruh rakyat Malaysia panik, resah dan gelisah.

Namun, sejak beberapa minggu ini, kes baharu melebihi angka 20,000 dan kita semua tidak sepanik sebelum ini.

Terima kasih kepada keberkesanan vaksin dan bersyukur juga varian Omicron tidak seganas Delta.

Namun, di saat kes terus meningkat, saya terfikir adakah terdapat kebarangkalian untuk seorang individu dijangkiti Covid-19 lebih dari sekali?

AFP melaporkan, Korea Selatan sudah mencapai angka 10 juta untuk jumlah terkumpul kes Covid-19 dengan angka harian kini melebihi 400,000.

Pada Khamis minggu lalu, ia mencatatkan angka tertinggi iaitu 621,205 kes dalam tempoh 24 jam dan kedua tertinggi mencecah 490,881 baru-baru ini.

Ia bermakna, seorang daripada lima penduduk Korea Selatan sudah dijangkiti Covid-19.

Dengan kes yang terus meningkat ini, tidak mustahil sekiranya seorang individu boleh mendapat jangkitan berulang.

Berdasarkan laporan di Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit (CDC) Amerika Syarikat (AS), jangkitan semula boleh berlaku.

Namun, selepas dijangkiti Covid-19, kebanyakan individu mempunyai perlindungan daripada jangkitan semula.

Menurut kajian dilakukan penyelidik dari Pakistan yang dilaporkan PubMed, berdasarkan pemerhatian terhadap 12 pesakit yang dijangkiti SARS-CoV-2, kesemuanya mendapat jangkitan berulang.

Tempoh pemerhatian dari 25 April 2020 hingga 16 Mac 2021 menyaksikan kesemua 12 responden menunjukkan gejala ringan ketika kali pertama dijangkiti namun gejala menjadi lebih serius ketika dijangkiti kali kedua.

Kesemuanya tidak divaksinasi.

Disebabkan risiko jangkitan berulang dan Omicron yang masih bermaharajalela, Korea Selatan mengambil langkah untuk memberikan suntikan dos keempat.

Reuters melaporkan disebabkan vaksinasi yang meluas dengan suntikan penggalak pertama diterima oleh lebih 57 peratus daripada populasi 52 juta, ia membantu mengurangkan kematian dan jangkitan serius, walaupun Omicron masih mengganas.

Menteri Kesihatan Kwon Deok-cheol berkata, kumpulan berisiko tinggi akan menjadi yang pertama mendapat dos keempat, yang juga suntikan penggalak kedua.

Keutamaan akan diberikan kepada mereka yang tinggal di rumah jagaan dan kemudahan penjagaan serta mereka dengan imunisasi yang merosot.

Adakah pemberian vaksin hanya akan terhenti selepas dos keempat? Jawapannya tiada siapa tahu. Ini kerana Covid-19 ini dilihat terus 'membesar dengan jayanya' dan bercambah ke pelbagai varian.

Di saat kita diberikan dos ketiga vaksin Covid-19, Omicron sudah mula menuai subvarian baharu iaitu BA.2 yang menular 80 peratus lebih pantas berbanding versi awal Omicron.

Subvarian ini dijangka menjadi dominan di kebanyakan negara dalam tempoh terdekat.

Bagaimanapun, ia tidak sekejam Delta dan hanya menyebabkan gejala ringan bagi kebanyakan individu, khususnya yang sudah menerima vaksin.

Walaupun ia boleh membuat kita sedikit lega, namun perlu diingat bahawa risiko masih ada. Individu yang sudah menerima dos penggalak juga berisiko, apatah lagi yang tidak pernah menerima imunisasi langsung.

Di saat kita tidak sabar melangkah ke bulan Ramadan pada minggu depan, langkah berjaga-jaga masih perlu diutamakan.

Walaupun kerajaan membenarkan bazar Ramadan beroperasi serta solat Tarawih di masjid dan surau, namun ia tidak bermakna kita boleh melangkah tanpa sebarang senjata - pelitup muka dan cecair pensanitasi tangan.

Sudah pasti kita semua mahu berhari raya bersama keluarga dan tidak mahu makan rendang serta ketupat dalam bilik seorang diri kerana perlu jalani kuarantin.

   

Penulis Pengarang Berita Harian Metro

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 26 Mac 2022 @ 7:00 AM