GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Mohd Roji Kawi


Kuching: Wabak Covid-19 masih membimbangkan di Sarawak berikutan 13 kematian direkodkan akibat jangkitan wabak itu sepanjang 2023.

Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata, ia termasuk empat kematian baharu dilaporkan dalam Minggu Epidemiologi Ke-51 iaitu antara 17 hingga 23 Disember 2023 dengan tiga daripadanya dilaporkan di Kuching dan satu kes di Miri.

Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak berkata, dalam tempoh sama peningkatan hampir 50 peratus dalam kes jangkitan yang disahkan di seluruh negeri.

"Dalam Minggu Epidemiologi 51, sejumlah 942 kes dilaporkan iaitu peningkatan sebanyak 311 kes atau 49.29 peratus berbanding minggu Epidemiologi sebelumnya iaitu sebanyak 631 kes.

"Empat kematian disahkan dijangkiti varian baharu Omicron iaitu JN.1 dan HK.3," katanya.

Beliau berkata demikian dalam perutusan sempena sambutan Tahun Baharu 2024, semalam.

Justeru, beliau menasihatkan orang ramai untuk terus berwaspada dengan mengambil langkah perlu serta mematuhi garis panduan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) bagi mengelak jangkitan COVID-19.

"Langkah berwaspada itu terutamanya kalangan orang tua, kanak-kanak dan mereka yang mempunyai komorbiditi.

"Ini kerana terdapat tanda-tanda kes muncul semula dengan subvarian HK.3 dan JN.1 kini dikesan di negeri ini," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 1 January 2024 @ 12:41 PM