GAMBAR HIASAN
GAMBAR HIASAN
Mohamed Farid Noh


Johor Bahru: Siasatan menyeluruh perlu dilakukan terhadap kes kematian akibat Covid-19 baharu yang dilaporkan di Johor semalam, bagi mengenal pasti ia bukanlah daripada penularan varian berbahaya termasuk sub-varian Omicron yang dominan iaitu JN.1.

Pakar Perubatan dan Kesihatan Awam Fakulti Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof Madya Dr Azmawati Mohammed Nawi, berkata langkah itu penting berikutan lokasi Johor yang berdekatan Singapura.

Katanya, ia berikutan ratusan ribu pekerja Malaysia yang bekerja di republik itu berulang alik setiap hari selain kemasukan ramai pelancong susulan cuti musim perayaan yang panjang.

"Sebenarnya, pelbagai faktor mungkin menyebabkan kes kematian akibat Covid-19 baharu berikutan sememangnya ketika ini kita hidup bersama-sama virus itu.

"Mungkin kematian disebabkan Covid-19 yang menyebabkan komplikasi penyakit, mempunyai sejarah penyakit kritikal, golongan rentan, gaya hidup masa kini termasuk tidak mengambil suntikan penggalak vaksin Covid-19; ada melakukan sejarah perjalanan ke lokasi tertentu atau daripada kontak rapat.

"Namun kita tidak dapat menolak sepenuhnya jika ia berkaitan penularan varian Covid-19 berbahaya kerana lokasi Johor sendiri yang terletak hampir dengan Singapura, yang memungkinkan ada berlaku penyebaran varian virus berkenaan yang berbahaya namun tidak disedari.

"Oleh itu, siasatan menyeluruh kes itu perlu dilakukan bagi mengetahui lebih lanjut mengenai kematian baharu akibat Covid-19 di Johor," katanya ketika dihubungi.

Semalam, Johor dilaporkan merekodkan satu kematian akibat kes Covid-19 baharu pada Minggu Epidemiologi (ME) ke-51 pada 17 hingga 23 Disember lalu.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Perpaduan Johor, Ling Tian Soon, dilaporkan berkata tiga lagi pesakit Covid-19 masih dirawat Unit Rawatan Rapi (ICU) dengan 123 pesakit dirawat di wad hospital negeri ini.

Katanya, pola Covid-19 di Johor dalam tempoh beberapa bulan ini menunjukkan peningkatan mendadak.

Pada Jumaat lalu pula, varian Covid-19 JN.1 dilaporkan sudah mula dikesan di Malaysia sejak Khamis lalu.

Sebanyak 61 sampel diambil daripada beberapa kawasan di Sarawak menunjukkan kehadiran dua sub-varian Omicron yang dominan iaitu JN.1 (49 peratus) dan HK.3 (26 peratus).

Pada 19 Disember lalu, Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) mengklasifikasikan JN.1 sebagai varian Covid-19 yang mempunyai kepentingan berikutan tahap penyebaran tinggi di seluruh dunia.

Sementara itu, Dr Azmawati berkata, pemakaian pelitup muka perlu digalakkan semula sebagai langkah berwaspada terhadap peningkatan jangkitan baharu Covid-19 yang berbahaya.

Katanya, ia berikutan jangkaan peningkatan kes jangkitan baharu berikutan cuti panjang ketika ini berikutan peningkatan perjalanan di dalam dan luar negara.

"Jangkaan peningkatan kes jangkitan baharu Covid-19 itu memang ada berikutan ketika ini cuti panjang dengan keluarga mengambil kesempatan melancong dalam dan luar negara

"Oleh itu, pemakaian pelitup muka perlu digalakkan terutama kepada mereka yang mempunyai simptom malah jika tidak sihat orang ramai perlu mengambil cuti sakit dan berehat di rumah sebagai langkah berwaspada," katanya

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 26 Disember 2023 @ 4:49 PM