GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Melvin Joni


Kuching: Enam kes positif Covid-19 disebabkan oleh subvarian Omicron, Arcturus dikesan di Sarawak.

Perkara itu didedahkan oleh Pengarah Institut Kesihatan dan Perubatan Komuniti (IHCM), Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) Profesor Dr David Perera dalam laporan terbarunya kepada pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Sarawak (JPBN) Datuk Amar Douglas Uggah Embas, hari ini.

"Memandangkan pengesanan Arcturus di negeri ini, orang ramai dinasihatkan supaya peka dengan risiko peningkatan kadar jangkitan.

"Setiap orang mesti mengambil langkah berjaga-jaga untuk mengelakkan jangkitan dan mencegah penularan terutamanya semasa musim perayaan yang akan datang," katanya.

Dalam pada itu, Dr Perera berkata varian lain yang dikesan ialah XBB1.11.1, dengan 12 kes di Sarawak.

Sementara, beliau berkata IHCM telah mengumpul 33 sampel Covid-19, antara 20 Februari hingga 13 April tahun ini.

Katanya sampel-sampel itu adalah daripada kes positif yang kebanyakannya diperolehi di Kuching manakala satu dari Serian satu dan dua dari Sibu.

"Omicron kekal sebagai varian yang dominan menular dengan beberapa subvarian XBB.1 lain," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 20 April 2023 @ 5:20 PM