GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
Mohd Haris Fadli Mohd Fadzil haris


Kuala Lumpur: Kewujudan banyak kamera litar tertutup (CCTV) di sekitar ibu negara menjadi 'mata-mata' buat pihak polis dalam usaha membanteras jenayah.

Ia secara tidak langsung mengurangkan kadar jenayah indeks di sekitar ibu negara sebanyak 10 peratus berbanding tahun lalu dan sehingga 40 peratus jika dibandingkan 2019.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Allaudeen Abdul Majid berkata, ia juga secara tidak langsung menyumbang kepada kadar pertuduhan yang tinggi mencecah 70 peratus membabitkan Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Kuala Lumpur.

Menurutnya, JSJ Kuala Lumpur juga berjaya menyelesaikan 91.52 peratus kertas siasatan yang dibuka bagi tempoh bermula Januari hingga November.

"Keadaan jenayah terkawal dan boleh dikatakan di sini tidak perlu takut (dengan jenayah) walaupun masih berlaku satu dua kes keseluruhannya fear of crime itu sudah menurun.

"Kita (JSJ) berjaya selesaikan banyak kes dan kadar pertuduhan kita harap akan capai 70 peratus dalam dua minggu akan datang," katanya ketika ditemui selepas Perhimpunan Bulanan Ketua Polis Kuala Lumpur, di sini hari ini.

ALLAUDEEN (kiri) bersama anggota polis pada perhimpunan bulanan IPK Kuala Lumpur. FOTO Saifullizan Tamadi
ALLAUDEEN (kiri) bersama anggota polis pada perhimpunan bulanan IPK Kuala Lumpur. FOTO Saifullizan Tamadi

Bagaimanapun katanya, kadar jenayah komersial khususnya dalam talian terus menjadi agenda utama pihaknya berikutan kegiatan jenayah di alam maya itu sukar untuk dijejak.

"Walaupun keadaan jenayah terkawal, kita bimbangkan jenayah komersial kerana kalau lihat apa yang berlaku di jalanan dahulu seperti pecah rumah, rompak dan sebagainya kini berlaku dalam talian.

"Mereka beralih ke jenayah komersial sebab peluang untuk dikesan dan ditangkap itu lebih sukar apabila melakukan jenayah di alam maya," katanya.

Sementara itu katanya, keseluruhnya petunjuk prestasi utama (KPI) jenayah indeks bagi tempoh 1 Januari hingga 30 November mencatatkan penurunan sembilan peratus, jenayah harta benda lapan peratus, dan jenayah kekerasan 12 peratus.

Dalam pada itu, sebanyak 1,609 serbuan dijalankan membabitkan jenayah siber dan 1,222 serbuan membabitkan jenayah komersial lain.

Katanya, sebanyak 87 kertas siasatan dibuka membabitkan kes pusat panggilan melibatkan 1,066 tangkapan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 20 Disember 2023 @ 11:00 AM