Mohd Haris Fadli Mohd Fadzil

Kuala Lumpur: Anggota dan pegawai polis di ibu negara digesa menjaga tahap kesihatan terutama berat badan supaya sentiasa berada dalam julat jisim indeks tubuh (BMI) ditetapkan.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Allaudeen Abdul Majid mengakui sekitar dua hingga tiga peratus daripada 10,000 anak buahnya mengalami masalah berat badan.

"Tugas polis ini mencabar dan antara cara untuk menghadapi tekanan dan cabaran adalah dengan kesihatan badan yang baik, 'fit' dan cergas.

"Saya harapkan mereka bebas penyakit dan pada masa sama nampak segak bila berpakaian seragam," katanya ketika ditemui selepas Perhimpunan Bulanan Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur, di sini, hari ini.

ALLAUDEEN menyampaikan ucapan pada Perhimpunan Bulanan Ketua Polis Kuala Lumpur di Ibu Pejabat Kontinjen Polis Kuala Lumpur. FOTO Aizuddin Saad
ALLAUDEEN menyampaikan ucapan pada Perhimpunan Bulanan Ketua Polis Kuala Lumpur di Ibu Pejabat Kontinjen Polis Kuala Lumpur. FOTO Aizuddin Saad

Menurutnya, buat masa ini pihaknya tidak meletakkan garis masa buat anggota dan pegawai terbabit tetapi mengambil pendekatan 'secepat mungkin'.

Mengulas berkenaan lawatan mengejut Ketua Polis Negara ke beberapa Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD), Allaudeen berkata, pihaknya mengambil pendekatan untuk turut turun padang bagi memantau anggota di lapangan.

"Polis KL kami ambil iktibar dan saya sudah arahkan semua ketua jabatan, KPD (ketua polis daerah), termasuk saya sendiri pastikan turun melawat balai dan IPD serta anggota dan pegawai di lapangan.

"Ia selaras dengan arahan 'close monitoring' bagi memastikan tiada penyelewengan dan segala tugasan dilaksanakan dengan baik," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 14 Februari 2024 @ 10:44 AM