Mohd Haris Fadli Mohd Fadzil


Kuala Lumpur: Polis akan merakam percakapan semua pihak termasuk ibu, bapa, rakan dan pihak sekolah berhubung dakwaan seorang remaja melarikan diri dari sebuah asrama di Cheras di sini, baru-baru ini, akibat dibuli berulang kali.

Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Allaudeen Abdul Majid berkata, pihaknya menerima laporan dari keluarga mangsa, tengah hari semalam.

"Kita akan panggil semua untuk bantu siasatan, baik pihak sekolah, ibu bapa dan rakan-rakannya.

"Kita kelaskan kes ini di bawah Seksyen 31 Akta Kanak-Kanak 2001 dan siasatan akan dijalankan oleh D11 (Siasatan Seksual, Wanita dan Kanak) Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Kuala Lumpur," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas selepas selesai perhimpunan bulanan di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur, hari ini.

Terdahulu, Harian Metro melaporkan, pelajar sebuah sekolah berasrama penuh di Cheras, ditemukan dalam keadaan lemah oleh ibu bapanya dan guru sekolah di Masjid Saidina Othman, Bandar Tun Razak, pada 8 Disember lalu.

Pelajar berusia 14 tahun itu ditemukan beberapa jam selepas dilaporkan hilang dari asrama.

Keadaan pelajar itu masih semakin baik, tetapi masih trauma. Anak sulung daripada tiga beradik itu masih menerima rawatan selepas dimasukkan ke Hospital Canselor Tuanku Muhriz UKM di sini, sejak 9 Disember lalu.

Susulan kejadian, ibu mangsa berkata, pihaknya akan mengambil tindakan perundangan berhubung kejadian buli itu yang didakwanya sudah berulang kali terjadi.

Katanya, tindakan sedemikian perlu dilakukan bagi memperjuangkan nasib anaknya kerana dibuli dengan teruk.

Allaudeen Abdul Majid.
Allaudeen Abdul Majid.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 20 Disember 2023 @ 9:48 AM