Allaudeen semasa bercakap pada sidang media di IPK Kuala Lumpur hari ini.
Allaudeen semasa bercakap pada sidang media di IPK Kuala Lumpur hari ini.
Mohd Haris Fadli Mohd Fadzil


Kuala Lumpur: Polis mengesan tiga individu yang sehingga kini gagal tampil untuk dirakam percakapan berhubung pembabitan mereka pada 'Himpunan Selamatkan Malaysia' di sini, Sabtu lalu.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Allaudeen Abdul Majid berkata, pihaknya mengenal pasti 28 individu dan setakat hari ini, hanya 16 daripada mereka sudah tampil memberi keterangan.

Menurutnya, beberapa lagi individu sudah dipanggil dan dijangka hadir untuk dirakam percakapan dalam masa terdekat.

"Tiga orang lagi kita sedang usaha untuk kesan dan kita harap akan selesaikan (siasatan) kemudian hantar kertas siasatan minggu ini, setakat ini (siasatan) berjalan lancar.

"Tiga orang ini kita berharap mereka tampil segera, jika gagal kita akan dedahkan nama mereka," katanya ketika ditemui pada Perhimpunan Bulanan Ketua Polis Kuala Lumpur di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur di sini, hari ini.

Terdahulu, Harian Metro melaporkan, polis mengenal pasti 25 individu termasuk seorang ahli Parlimen yang terbabit dalam Himpunan Selamatkan Malaysia di ibu negara, Sabtu lalu.

Polis membuka kertas siasatan berhubung 'Himpunan Selamatkan Malaysia' di hadapan kompleks beli-belah Sogo di sini mengikut Akta Perhimpunan Aman 2012.

Perarakan itu diketuai Ahli Dewan Tertinggi Muafakat Nasional (MN) Datuk Tun Faisal Ismail Aziz dan Sekretariat Himpunan Selamatkan Malaysia, Badrul Hisham Shaharin atau lebih dikenali sebagai Chegu Bard.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 20 September 2023 @ 9:58 AM