ANWAR bersalaman dengan Kishida. FOTO Bernama
ANWAR bersalaman dengan Kishida. FOTO Bernama
BERNAMA

Tokyo: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dan rakan sejawatnya Fumio Kishida hari ini mengeluarkan kenyataan bersama mengenai peningkatan hubungan Malaysia-Jepun kepada kerjasama komprehensif strategik.

Kenyataan itu diberikan sebelum kedua pemimpin itu menyaksikan majlis menandatangani dan pertukaran nota Bantuan Geran Keselamatan rasmi oleh Jepun, yang akan menyediakan peralatan pemantauan dan pengawasan untuk Malaysia.

Kedua pemimpin juga menyaksikan pertukaran memorandum kerjasama mengenai Pembangunan dan Aplikasi Angkasa Lepas antara Agensi Angkasa Malaysia (MYSA) dan Agensi Penerokaan Aeroangkasa Jepun (JAXA).

Terdahulu Anwar dan Kishida mengadakan pertemuan dua hala ringkas dan mesyuarat.

Anwar berkata, Malaysia amat menghargai komitmen Jepun kepada rantau ini termasuk Malaysia sejak 1980-an, yang telah menyumbang kepada pertumbuhan rantau ini dan negara.

"Saya amat menghargai hubungan Malaysia-Jepun dan gembira dengan komitmen dan kerjasama meluas yang ditunjukkan Jepun dalam perdagangan dan pelaburan di rantau ini," katanya.

Anwar berkata, Jepun juga telah memainkan peranan penting dalam pembangunan Malaysia sejak tahun 1980-an, menerusi pelaburan sektor swasta.

Sementara itu, Kishida berterima kasih kepada Malaysia atas layanan yang diberikan ketika lawatan beliau ke Malaysia baru-baru ini, dan peranan penting dimainkannya dalam membentuk ASEAN seperti yang ada sekarang, serta mahu melihat pembabitan yang lebih besar Jepun dalam ASEAN.

Terdahulu pada majlis menandatangani dan pertukaran nota Peningkatan Kapasiti Keselamatan itu, Malaysia diwakili Menteri Luar Datuk Seri Mohamad Hasan manakala Jepun diwakili Menteri Luarnya Yoko Kamikaway.

Manakala pada pertukaran memorandum kerjasama angkasa Ketua Pengarah MYSA Azlikamil Napiah mewakili Malaysia dan Presiden JAXA Hiroshi Yamakawa bagi pihak Jepun.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 16 Disember 2023 @ 1:53 PM