DATUK Seri Anwar Ibrahim. FOTO Mohd Fadli Hamzah
DATUK Seri Anwar Ibrahim. FOTO Mohd Fadli Hamzah
BERNAMA

Putrajaya: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim akan mengadakan lawatan kerja ke Jepun pada 16 hingga 18 Disember untuk menyertai Sidang Kemuncak Peringatan ASEAN-Jepun.

Kementerian Luar Negeri dalam satu kenyataan pada Jumaat memaklumkan bahawa semasa lawatan itu, Perdana Menteri dijadualkan mengadakan mesyuarat dua hala dengan rakan sejawat beliau dari Jepun Fumio Kishida.

Kedua-dua pemimpin akan membincangkan kedudukan hubungan dua hala Malaysia-Jepun dan bertukar pandangan mengenai isu serantau dan antarabangsa yang berkepentingan bersama.

Kedua-dua Perdana Menteri juga dijangka mengumumkan penaiktarafan hubungan dua hala kepada Perkongsian Strategik Komprehensif.

Selain itu, kedua pemimpin akan menyaksikan pertukaran Pertukaran Nota Pelaksanaan bagi Program Peningkatan Kapasiti Keselamatan di bawah Bantuan Keselamatan Rasmi antara Kerajaan Malaysia dan Kerajaan Jepun; dan Memorandum Kerjasama mengenai Pembangunan dan Aplikasi Angkasa Lepas antara Agensi Angkasa Malaysia dan Agensi Penerokaan Aeroangkasa Jepun.

Anwar juga dijadual bertemu dengan beberapa tokoh industri serta diaspora Malaysia di Tokyo.

Sidang kemuncak itu menandakan ulang tahun ke-50 hubungan dialog ASEAN-Jepun dan kedua-dua pihak akan menyemak semula kedudukan hubungan serta membincangkan usaha ke arah meningkatkan perkongsian, termasuk mengenal pasti bidang kerjasama baharu.

Pemimpin juga akan bertukar pandangan mengenai isu-isu serantau dan antarabangsa yang berkepentingan bersama.

Pada September lalu, ASEAN dan Jepun sepakat untuk menubuhkan Perkongsian Strategik Komprehensif yang substantif dan saling menguntungkan.

Ke arah melaksanakan kesepakatan itu, sidang kemuncak peringatan berkenaan dijangka memperakukan Kenyataan Wawasan Bersama dan Pelan Pelaksanaannya yang akan menjadi dokumen-dokumen panduan untuk melakar hala tuju strategik perkongsian ASEAN-Jepun untuk masa hadapan.

"Penyertaan Malaysia dalam sidang kemuncak itu mencerminkan komitmen kuatnya untuk mendalamkan lagi hubungan dialog ASEAN-Jepun ke arah memelihara keamanan, kestabilan dan kemakmuran serantau bagi manfaat warga ASEAN dan Jepun," menurut kenyataan itu.

Perdana Menteri akan diiringi oleh Menteri Luar Datuk Seri Mohamad Hasan, Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Perindustrian Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz serta pegawai-pegawai kanan kerajaan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 15 Disember 2023 @ 9:42 PM