BERNAMA

Tokyo: Usaha menangani cabaran dan meraih peluang dalam tenaga bersih di samping memastikan 'peralihan yang saksama' memerlukan sokongan menyeluruh terutama melibatkan pembiayaan, insentif, teknologi dan infrastruktur, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Beliau berkata, Malaysia juga percaya peralihan tenaga seharusnya saksama, inklusif dan adil dengan tindakan ke arah kemajuan merangkumi model kolaborasi dan kerjasama yang progresif.

"Oleh itu, Malaysia akan mengalu-alukan sokongan dan kerjasama berterusan dari Jepun, Australia dan lain-lain memandangkan kita berusaha untuk mempercepat perjalanan peralihan tenaga kita," katanya ketika berucap pada Mesyuarat Pemimpin Komuniti Pelepasan Sifar Asia (AZEC) di sini, hari ini.

Beliau berkata, Malaysia, dengan sendiri, akan terus mengutamakan penyelesaian praktikal yang memacu kemajuan, mengimbangi cita-cita berkaitan iklim, kelestarian dan pertumbuhan ekonomi.

"Kerajaan (di bawah pentadbiran) saya pada Ogos telah melancarkan Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (NETR) Malaysia yang mengambil daripada antara lain inisiatif AZEC," katanya.

Anwar berkata, Malaysia optimis AZEC akan berfungsi sebagai platform bagi tempoh yang panjang, menggalakkan kerjasama yang saling memberi manfaat bersama dalam peralihan tenaga khususnya di rantau itu.

AZEC ialah platform kerjasama yang bertujuan memajukan usaha keneutralan karbon dan peralihan tenaga untuk mencapai sasaran pelepasan sifar.

Datuk Seri Anwar Ibrahim (kiri) bersama Perdana Menteri Jepun Fumio Kishida pada Mesyuarat Pemimpin Komuniti Pelepasan Sifar Asia (AZEC) di sini, hari ini. FOTO BERNAMA
Datuk Seri Anwar Ibrahim (kiri) bersama Perdana Menteri Jepun Fumio Kishida pada Mesyuarat Pemimpin Komuniti Pelepasan Sifar Asia (AZEC) di sini, hari ini. FOTO BERNAMA

Jepun komited untuk menyediakan sokongan kewangan sehingga AS$8 bilion bagi tempoh sehingga 2030 untuk projek tenaga boleh baharu serta inisiatif penjimatan tenaga di negara anggota AZEC.

Negara AZEC termasuk Australia, Brunei, Kemboja, Indonesia, Jepun, Laos, Malaysia, Filipina, Singapura, Thailand dan Vietnam.

Anwar turut memuji Perdana Menteri Jepun Fumio Kishida atas inisiatif AZEC.

Sementara itu, Kishda ketika menyampaikan ucapan perasmian di sidang kemuncak itu berkata, Jepun bersedia membantu Asean merealisasikan pelepasan sifar melalui pelbagai usaha.

Penyahkarbonan yang hadir dengan pelbagai cabaran dan inovasi adalah faktor utama untuk Jepun bersedia meneraju usaha itu, katanya.

Beliau berkata, Dasar Asas Transformasi Hijau (GX) Jepun menetapkan pengawalseliaan, pembiayaan dan keutamaan pembangunan teknologi untuk transformasi hijau pelbagai sektor perindustrian dengan tonggak utama dasar tersebut adalah sokongan untuk peralihan tenaga di Asia.

Kishida berkata, berlandaskan dasar yang dilancarkan pada 2022 itu, lebih 350 projek telah dilancarkan di negara rakan AZEC dengan kerjasama daripada pelabur Jepun.

Beliau yakin bahawa pasaran penyahkarbonan akan menarik modal dari seluruh dunia walaupun penyahkarbonan AZEC membabitkan kos yang tinggi.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 18 Disember 2023 @ 1:23 PM