ISMAIL Sabri (kiri) ketika pertemuan dengan Kishida di Pejabat Perdana Menteri Jepun. FOTO Bernama
ISMAIL Sabri (kiri) ketika pertemuan dengan Kishida di Pejabat Perdana Menteri Jepun. FOTO Bernama
BERNAMA

Tokyo: Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengadakan pertemuan dengan Perdana Menteri Jepun Fumio Kishida bagi membincangkan usaha memperkukuhkan hubungan Malaysia-Jepun yang sekian lama terjalin di Pejabat Perdana Menteri Jepun, hari ini.

Ini pertemuan bersemuka pertama antara Ismail Sabri dan Kishida, untuk kedua-dua pemimpin berkenaan mengadakan perbincangan dua hala, sejak menerajui kerajaan masing-masing pada 2021.

Ismail Sabri dan Kishida sebelum ini pernah mengadakan sidang Jepun-Malaysia melalui panggilan telefon pada 20 April lalu, yang menyaksikan kedua-dua pemimpin menyentuh mengenai pelbagai isu serantau dan antarabangsa.

Ini juga kali pertama Kishida menjadi hos kepada perdana menteri Malaysia sejak memegang jawatan sebagai Perdana Menteri Jepun pada Oktober lalu.

Pertemuan itu adalah bersempena lawatan kerja rasmi Ismail Sabri ke Jepun, yang menyaksikan Perdana Menteri turut mengambil bahagian dalam Persidangan Antarabangsa ke-27 Mengenai Masa Depan Asia, yang juga perhimpunan tahunan pemimpin politik, ekonomi dan industri dari rantau Asia Pasifik; di samping bertemu tokoh perniagaan dan korporat di Jepun bagi menarik pelaburan ke Malaysia.

Ia lawatan kerja rasmi pertama Ismail Sabri ke Jepun sejak beliau memegang jawatan Perdana Menteri pada Ogos 2021.

Tahun ini adalah ulang tahun ke-40 Dasar Pandang ke Timur yang sudah memberi sumbangan besar dalam pengukuhan hubungan dua hala antara Malaysia dan Jepun.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 27 Mei 2022 @ 5:37 PM