MURID bersama pelajar UPSI menjalankan aktiviti.
MURID bersama pelajar UPSI menjalankan aktiviti.
Oleh Rosman Shamsudin


Kegigihan lima pelajar semester pertama Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) mengaplikasikan teori pembelajaran di dalam bilik kuliah dan khidmat masyarakat kepada murid Sekolah Kebangsaan (SK) Sri Keledang, Hulu Selangor, Selangor, baru-baru ini, jelas memberi manfaat untuk meningkatkan mutu pendi­dikan alaf baru.

Perjalanan dari UPSI kira-kira 50 kilometer ke sekolah itu memakan masa lebih kurang sejam dan meredah jalan ladang kelapa sawit sejauh 15 kilometer kerana sekolah ditujui terletak di kawasan luar bandar bersempadanan Perak dan Selangor.

Lima penuntut Ijazah Sarjana Muda Pendidikan, Bimbingan dan Kaunseling itu ialah Pengarah Projek; Syarifah Nur Asiah Syed Sahar, 23, Timbalan Pengarah Projek; Mastura Mohd Daud, 22, dan rakan kursus, Nur Amalina Mahmud, 21, Siti Aishah Wahab, 23, serta Nubella Nandis, 21.

Mereka tiba di sekolah pada awal pagi bagi menjalankan program “Who Am I” bersama murid tahun dua. Ia bertujuan mengkaji pertumbuhan dan perkembangan murid sekolah seawal usia 10 tahun sehing­ga 11 tahun di samping memastikan pengajaran dan pembelajaran yang berlaku di bilik kuliah dapat digunakan dengan berkesan.

Bukan mudah menjalankan program seumpama ini kerana sejak bergelar siswazah, ini kali pertama mereka menjalankan program bersama murid yang mempunyai pelbagai ragam serta kerenah.

Syarifah Nur Asiah berkata, mereka merancang menjalankan program ini sejak awal tahun ini. Melihat respons dan kerjasama positif diberikan guru sekolah itu, pihaknya bersemangat melihat sejauh mana peranan teori pembelajaran dipelajari berkesan untuk amalan praktikal kali ini.

“Teori dipelajari serta praktikal dijalankan memang tidak sama dari segi pemahaman dan keberkesanannya. Kami sedia maklum tahap kebolehan dan keupayaan murid adalah berbeza.

“Program ini secara tidak langsung menyedarkan saya bahawa sebagai bakal kaunselor, kita perlu melihat kemampuan pembentukan murid secara teori dan praktikal.

“Sepanjang program ini, kami melihat sendiri sama ada teori pembelajaran yang dipelajari mampu atau tidak diaplikasikan di sekolah.

“Semua itu dapat diperoleh secara pemerhatian berdasarkan maklum balas daripada aktiviti murid saya yang tidak akan dapati di dalam bilik kuliah,” katanya.

Mastura yang juga bekas murid sekolah itu pula berkata, menerusi latihan pratikal berkenaan, kerinduan bersama teman mahupun guru yang pernah dididik sewaktu di sekolah rendah terubat.

Katanya, apabila menjalankan program berkenaan, baru dia faham betapa sukarnya bergelar pendidik, apatah lagi kaunselor. Mahu atau tidak, profesion ini terpaksa berdepan pelbagai ragam murid yang memerlukan tahap kesabaran tinggi.

“Memang tidak dapat dinafikan, tahap pertumbuhan murid di sekolah luar bandar dan bandar berbeza disebabkan pelbagai faktor. Sebagai bakal kaunselor, saya perlu membantu murid mencernakan pemikiran melalui pengalaman serta pemerhatian mereka supaya aktiviti dijalankan berlangsung

dengan lancar.

“Bagi menimbulkan semangat murid, kami menyelitkan elemen muzik melalui lagu popular yang sering berkumandang di radio. Murid tidak hilang fokus kepada program ini,” katanya.

Rakannya, Nur Amalina menyifatkan pengalaman diperoleh sepanjang program memang banyak memberi manfaat kepadanya untuk menyiapkan tugasan projek secara berkumpulan.

“Setiap perkara baru yang saya dapat akan dicatat dan gambarnya dirakam supaya pengalaman ini dapat saya adaptasikan mahupun kongsi bersama rakan sekuliah serta pensyarah apabila selesai tugasan.

“Saya gembira memilih sekolah ini sebagai lokasi menyiapkan tugasan kumpulan kami kerana ia terletak di luar bandar. Rata-rata murid sekolah ini mempunyai pengetahuan tinggi dan bermotivasi ketika menjalani aktiviti kumpulan,” katanya.

Aishah yang berasal dari Tereng­ganu pula kagum dengan kerjasama ditunjukkan ahli kumpulan ini sepanjang program kerana sentiasa gigih dan bersemangat, terutama ketika mengawal murid untuk memastikan mereka menumpukan perhatian ketika aktiviti dijalankan.

Katanya, rasa yakin terhadap program ini membolehkan beliau serta rakan menyiapkan tugasan dan paling penting iaitu pengalaman bersama murid serta guru di sekolah ini akan terus terpahat di dalam memori apabila bergelar kaunselor nanti.

Sementara itu, Nubella yang berasal dari Sabah berkata, walaupun terletak di luar bandar, sekolah ini dilengkapi pelbagai kemudahan prasarana pendidikan berbanding sekolah di tempat kelahirannya.

Katanya, murid sekolah ini harus beruntung dan bersyukur serta perlu memanafaatkan kemudahan dengan bijaksana untuk berjaya.

Majlis penutupan disempurnakan oleh Guru Penolong Kanan Hal Ehwal Murid (HEM), Mohd Kosnan Sadri yang turut me­nyampaikan sijil penghargaan kepada lima penuntut UPSI sebagai penghargaan terhadap program yang mereka jalankan bagi memberi manafaat kepada murid sekolah.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 3 Mei 2015 @ 1:19 PM