Suasana di SMK Bukit Bandaraya, Bangsar. (Gambar atas) Salmah. (Gambar bawah) Khairi. FOTO Mazizul Dani
Suasana di SMK Bukit Bandaraya, Bangsar. (Gambar atas) Salmah. (Gambar bawah) Khairi. FOTO Mazizul Dani
Mazizul Dani


“SAYA pantau dia belajar di rumah supaya tidak leka, tetapi tidak memberi tekanan,” kata kakitangan swasta, Salmah Yaakob, 42.

Dia antara 20 ibu bapa yang menghantar anak ke Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bukit Bandaraya, Bangsar untuk menduduki peperiksaan Pentaksiran Tingkatan 3 (PT3) bermula hari ini.

Salmah berkata, harapan tinggi diletakkan di bahu anaknya, Norsalsabila Aina Zaiham, 15, yang juga anak sulung daripada tiga beradik.

“Alhamdulillah, anak saya cuma belajar macam biasa dan di akhir-akhir ini sekolah banyak buat kelas tambahan.

“Harapan saya kepada dia sebagai anak sulung perlu jadi contoh kepada adik-adiknya dan saya harap dia dapat keputusan yang baik,” katanya ketika ditemui, hari ini.

Suri rumah, Norfaza Din, 55, berkata, dia menunggu sehingga anaknya, Mohd Hafiz Bukhari, 15, masuk ke dewan peperiksaan untuk memberi dorongan dan semangat.

“Dia ada berdebar sedikit sebelum ini, tetapi malam tadi sudah agak tenang.

“Saya pesan padanya supaya buat yang terbaik dan mana yang mampu. Insya-Allah nak yang terbaik untuk dia, semoga dia berjaya,” katanya.

Sementara itu, Penolong Kanan Hal Ehwal Murid (HEM), SMK Bukit Bandaraya, Khairi Razali berkata, persiapan peperiksaan PT3 dilakukan sejak awal tahun lagi.

“Seramai 192 calon sekolah ini menduduki PT3 tahun ini dan diharapkan pencapaian lebih baik berbanding tahun lalu iaitu kira-kira 20 pelajar meraih semua A.

“Antara program yang pihak sekolah anjurkan adalah seperti Seminar Teknik Menjawab dan Program Pecutan untuk memantapkan prestasi,” katanya.

PT3 adalah peperiksaan yang diperkenalkan pada 2014 menggantikan Penilaian Menengah Rendah (PMR) yang dilaksanakan sejak 1993.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 9 Oktober 2017 @ 2:33 PM