Zahratulhayat Mat Arif


Ipoh: Bekas Menteri Sumber Manusia V. Sivakumar menghormati keputusan yang dibuat Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim selepas namanya digugurkan dalam rombakan kabinet.

"Saya hormat (keputusan) PM (perdana menteri). Saya sudah melakukan yang terbaik.

"(Saya) ingin mengucapkan terima kasih kepada semua kakitangan Kementerian Sumber Manusia (SDM) atas kerjasama yang sangat baik dengan saya," kata Ahli Parlimen Batu Gajah itu ketika dihubungi New Straits Times hari ini.

Sebelum ini dilaporkan, seorang daripada yang digugurkan dalam rombakan kabinet yang dijadualkan hari ini adalah Sivakumar, yang dilantik sebagai Menteri Sumber Manusia pada 3 Disember tahun lalu.

SIVAKUMAR. FOTO Aziah Azmee
SIVAKUMAR. FOTO Aziah Azmee

Mengambil alih portfolionya ialah bekas Timbalan Menteri Kewangan II Steven Sim Chee Keong.

Sebelum ini, SPRM menggeledah pejabat dan kediaman Sivakumar, dikatakan bagi melengkapkan siasatan kes yang sedang disiasat agensi berkenaan.

SPRM sebelum ini dilapor menyerbu pejabat kementerian di Putrajaya, yang mana seorang pegawai kanan Sivakumar ditahan.

Sehari kemudian, SPRM menahan setiausaha sulit Menteri Sumber Manusia itu berhubung siasatan rasuah itu.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 12 Disember 2023 @ 12:51 PM